PUTRAJAYA – Sesi bergambar Jemaah Menteri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial hari ini tiada kaitan dengan desas-desus pembubaran Parlimen.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sesi tersebut diadakan susulan pelantikan beberapa anggota baharu dalam Jemaah Menteri selepas rombakan Kabinet pada Disember lalu.
Katanya, Perdana Menteri sudah lama berhasrat untuk mengadakan sesi bergambar tersebut, namun belum berpeluang untuk melaksanakannya sebelum ini.
“Tidak betul (dakwaan pembubaran Parlimen). Sebenarnya Perdana Menteri memang ada hasrat untuk ambil (rakam) gambar Jemaah Menteri sebab ada anggota Jemaah Menteri yang baharu.
“Dari waktu pelantikan dan rombakan Jemaah Menteri pada Disember lalu sehingga kini, belum ada peluang untuk adakan sesi bergambar seperti itu,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Menurut Fahmi, hari ini merupakan Hari Istiadat Perarakan Panji-Panji, maka Jemaah Menteri hadir ke Dataran Pahlawan memakai pakaian istiadat.
“Maka pihak Jabatan Perdana Menteri beranggapan ini masa yang sesuai untuk merakam gambar. Jadi tidak timbul isu, ia adalah perkara lazim,” katanya – KOSMO! ONLINE














