PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 650,000 pelajar mengikut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tahun ini sekali gus menyokong usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tahun lalu sahaja, hampir 600,000 pelajar TVET direkodkan dan ia menjadi petunjuk jelas bahawa laluan kemahiran semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, sasaran tersebut diharap dapat dicapai melalui 1,395 institusi TVET di seluruh negara dengan penawaran pelbagai bidang latihan selaras keperluan industri tempatan dan antarabangsa.
“Jumlah kemasukan pelajar ke institusi TVET menunjukkan peningkatan apabila mencecah kira-kira 587,000 orang pada tahun lalu berbanding hanya sekitar 121,000 pelajar ketika agenda pemerkasaan TVET mula diperkenalkan. Peningkatan hampir lima kali ganda ini membuktikan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar terhadap kepentingan TVET dan semakin diterima sebagai laluan pendidikan yang mampu menjamin masa depan,” katanya selepas meninjau persiapan sambutan Hari TVET Negara 2026 di sini hari ini.
Mengulas mengenai penganjuran Hari TVET Negara 2026, Ahmad Zahid berkata, sambutan itu akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini yang memperkenalkan konsep TVET kepada pelajar institusi TVET serta bakal pemohon.
Jelasnya, kerajaan mahu melihat TVET muncul sebagai pilihan utama pelajar selepas tamat persekolahan sekali gus memperkukuhkan agenda pembangunan modal insan negara berasaskan kemahiran dan teknologi. – KOSMO! ONLINE














