fbpx
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yang ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan Delivery Hero Malaysia Sdn Bhd (Foodpanda Malaysia), MyTeksi Sdn Bhd (Grab Malaysia) dan Gamuda Land Leisure Sdn Bhd, Putrajaya hari ini.

KBS sentiasa buka pintu buat Hakim Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bersedia meneliti keperluan sokongan tambahan buat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli susulan pencapaian bersejarahnya meraih podium sulung Kejuaraan Dunia Moto3 pada Grand Prix (GP) Itali, minggu lalu.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata KBS sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan bantuan bersesuaian, namun segala keputusan perlu mengambil kira keutamaan semasa serta peruntukan di bawah Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).

Menurutnya, ketika ini fokus utama dana tersebut lebih tertumpu kepada persiapan atlet negara menghadapi temasya besar seperti Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan SEA 2027.

“Setakat ini untuk penyaluran dana tersebut, kita sentiasa terbuka kepada perbincangan semua pihak. Memang perbincangan itu tetap berjalan sebab kita perlu lihat kita ada dana kawasan (KWASN) dan juga ada beberapa temasya lain yang perlu kita fokuskan.

“Sudah pasti perbincangan itu tetap akan berlaku dan kita akan cuba sedaya upaya untuk memberikan sokongan, dokongan dan dorongan bukan sahaja semata-mata Hakim Danish, tetapi secara keseluruhannya,” katanya.

Mengulas kemungkinan pemberian insentif khas kepada Hakim Danish susulan pencapaiannya di Mugello, beliau tidak menolak perkara tersebut boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat keputusan mengenainya pada masa akan datang.

“Kita akan mengumumkan jika sekiranya ada. Kita akan mengumumkan dengan segera. Tapi kita sentiasa berbincang ke arah itu, insya-Allah,” katanya yang ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di KBS, hari ini.

Dalam masa sama, Taufiq menjelaskan KBS dan SIC telah menyalurkan dana keseluruhan RM1.8 juta bagi pembangunan sukan permotoran negara tahun ini, membabitkan RM800,000 menerusi Geran Padanan Sukan dan RM1 juta lagi daripada SIC.

“Kita sentiasa memberikan sokongan kepada semua atlet-atlet kita. Di peringkat SIC sendiri memberikan suntikan dana seperti tahun ini di bawah Geran Padanan Sukan, kita menyalurkan sebanyak RM800,000 dan melalui SIC kita menyalurkan sebanyak RM1 juta. Jadi jumlah untuk tahun ini adalah sebanyak RM1.8 juta.

“Kita nak lihat ini adalah sukan-sukan yang mampu ataupun memberikan potensi yang besar sebenarnya untuk negara. Jadi kita ingin melihat potensi-potensi tersebut dan kita akan menilai kesesuaian saluran dana dan sebagainya,” ujarnya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN