SHAH ALAM – Rata-rata penyewa melahirkan kegusaran mereka mengenai peningkatan kadar sewa rumah yang berlaku berpunca daripada trend Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sejak Mei tahun lalu.
Seorang pekerja swasta dari Pandamaran, Klang, Shahrina Yusairi, 30, berkata, sewa bulanan rumah jenis pangsapuri mereka baharu sahaja dinaikkan kepada RM700 bulan ini berbanding RM500 sebelum ini.
Katanya, dia dan keluarga yang baharu dua tahun menyewa di kawasan itu mengakui terpaksa mencatu perbelanjaan bulanan apabila tuan rumah dikatakan mahu meningkatkan lagi sewaan sebanyak RM100 tidak lama lagi.
“Memang perit dengan kos sara hidup tinggi, namun gaji masih ditakuk lama dengan pendapatan isi rumah kami hanya RM4,000 selain perlu membayar pinjaman kereta sebanyak RM500 sebulan.
“Kalau hendak cari rumah lain, rasanya harga sewa turut akan melambung ditambah bayaran deposit yang tinggi. Ini lagi tidak berbaloi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Wanita itu turut memaklumkan, impiannya untuk memiliki rumah sendiri akan terus tertangguh sekiranya OPR meningkat setiap tahun.
Seorang kakitangan awam dari Sementa di sini, Ridzuan Yahya, 36, berkata, tidak semua individu mampu memiliki rumah sendiri meskipun berpendapatan RM3,000 sebulan.
“Tuan rumah pun ada menghantar pesanan di telefon bimbit untuk bertemu bagi menaikkan sewa. Buntu dibuatnya kerana kos hidup semakin meningkat.
“Sudah tentu, saya berharap tindakan segera daripada pihak kerajaan termasuk mempercepatkan pelaksanaan gaji baharu kepada kakitangan kerajaan,” katanya.
Di Petaling Jaya, seorang penyewa rumah teres yang mahu dikenali Ilya Razak, 45, berkata, dia memang sudah menjangka sewa rumahnya akan dinaikkan dari RM600 kepada RM800 susulan kenaikan kadar OPR baru-baru ini.
“Saya tak sangka OPR boleh naik lagi tahun ni. Pemilik terus naikkan sewa rumah daripada RM600 pada OPR pertama kepada RM800 ketika ini,” katanya.
Jelasnya lagi, dia yang bukan daripada golongan keluarga senang cukup terbeban apabila kadar rumah sewa dinaikkan.
“Namun, saya tetap bersyukur kerana pemilik rumah masih mempunyai sifat belas kasihan kepada kami sekeluarga.
“Tipulah kalau kata saya sekeluarga tidak terbeban kerana banyak lagi kos yang perlu kami tanggung termasuk bil utiliti dan perbelanjaan sekolah anak.
“Kalau ikutkan tuan rumah mahu naikkan sehingga RM1,200 sebulan tetapi mengenangkan saya sudah lama menyewa, dia naikkan sedikit sahaja bagi membantu kami,” jelasnya.
















