fbpx

Yakin kemampuan Malaysia di Piala Sudirman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SAINGAN Piala Sudirman 2023 yang akan berlangsung di Suzhou, China bakal membuka tirainya pada 15 hingga 21 Mei ini dengan semua pasukan sudah berada dalam persiapan terakhir bagi menghadapi kejohanan dwitahunan itu.

Skuad badminton kebangsaan juga sudah bekerja keras sejak minggu lalu bagi memastikan pemain-pemain berada pada pres­tasi terbaik selain turut menjalani kem bina semangat dalam memupuk semangat setiakawan.

Biarpun tidak dianggap sebagai pasukan pilihan, namun Malaysia dilihat mampu untuk menjadi ‘pengacau’ selain mencapai sasaran mara ke separuh akhir, seperti yang diletakkan oleh Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Skuad yang dibarisi pemain-pemain naungan ABM dan profesional itu boleh dianggap sebagai ramuan terbaik bagi memastikan Malaysia boleh memberi cabaran dan tidak mustahil melakar kejutan mara ke pentas final.

Meskipun perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia tidak berada pada prestasi terbaiknya ketika ini, namun penulis percaya dia mampu menghadirkan mata pertama buat pasukan negara, terutama dalam acara berpasukan campuran seperti ini.

Jika dibekalkan ‘senjata’ berbeza, bekas juara Asia dan Seluruh England (All England) itu pastinya akan menjadi sandaran utama Malaysia bagi mendapatkan mata pertama dalam setiap perlawanan.

Bekas perseorangan lelaki No.1 dunia, Muhammad Roslin Hashim pernah menyatakan, Zii Jia hanya perlu mempelbagaikan corak permainan bagi menampilkan aksi lebih konsisten selain terus mencatat kemenangan.

“Memang kita tahu apa kelebihan yang dia (Zii Jia) ada tetapi tidak boleh terlalu bersandarkan kepada itu (smash) sahaja. Maknanya selepas ini dia perlu ada variasi permainan, tidak ada satu gaya sahaja.

“Sebagai contoh, jika dia kurang mendapat smash, Zii Jia perlu tahu cara untuk ubah corak permainan bagi ‘memancing’ pemain lawan supaya menghantar bola tinggi bagi membolehkan dia melakukan smash,” katanya.

Justeru, dengan kemahiran dimiliki Zii Jia selain gandingan bersama beregu lelaki juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta rakan sepasukan lain, sasaran separuh akhir Piala Sudirman bukanlah sesuatu yang sukar.

Bagaimanapun, Malaysia perlu melepasi halangan di peringkat kumpulan terlebih dahulu dengan berada dalam kelompok dua teratas bagi melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Walaupun berada dalam Kumpulan C bersama Taiwan, India dan Australia yang dianggap sebagai kumpulan ‘maut’, namun penulis tetap menaruh sepenuh kepercayaan pasukan negara mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Pengarah Prestasi Tinggi ABM, Dr. Tim Jones juga percaya gandingan pemain kebangsaan dan profesional mampu menghasilkan permainan terbaik, sekali gus memperbaiki prestasi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Februari lalu.

Atas kertas, Malaysia sepatutnya tidak berdepan banyak masalah untuk mencatat kemenangan ke atas India dan Taiwan, namun Jones menegaskan, ia bergantung pada prestasi pemain pada hari perlawanan.

“Secara keseluruhan, saya gembira dengan persiapan yang dilakukan setakat ini, lebih-lebih lagi semua pemain sudah menjalani kem bina semangat.

“Saya tahu Malaysia memang berpeluang menang ke atas India tetapi kita perlu sedar, mereka sentiasa hadir dengan semangat cukup tinggi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI