fbpx

Teknologi AI berisiko mudaratkan kesihatan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu contoh bahaya kesihatan yang dipetik oleh pakar melibatkan penggunaan oksimeter nadi dipacu AI. - Grace Cary/Getty Images

LONDON – Pakar-pakar kesihatan awam memberi amaran bahawa teknologi kepintaran buatan (AI) berisiko memudaratkan kesihatan dan menimbulkan ancaman kepada berjuta-juta manusia, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Oleh yang demikian, mereka menggesa agar pembangunan teknologi AI dihentikan sehingga ia berjaya dikawal selia.

Menurut pakar, tidak dinafikan bahawa AI berpotensi merevolusikan sistem penjagaan kesihatan dengan meningkatkan diagnosis penyakit, mencari kaedah terbaik rawatan dan memperluaskan penjagaan kepada lebih ramai orang.

Bagaimanapun, AI juga berisiko mewujudkan impak negatif terhadap kesihatan, demikian menurut pakar-pakar kesihatan dari Britain, Amerika Syarikat (AS), Australia, Costa Rica dan Malaysia dalam laporan diterbitkan oleh jurnal MJ Global Health.

Risiko yang dikemukakan termasuk potensi ralat sehingga memudaratkan pesakit, isu mengenai keselamatan data dan privasi serta penggunaan AI dalam cara yang memburukkan lagi ketidaksamaan sosial dan kesihatan.

Salah satu contoh risiko adalah penggunaan oksimeter dipacu AI yang tersilap menganggar tahap oksigen dalam darah pesakit berkulit gelap yang dikhuatiri menjejaskan rawatan hipoksia.

Bukan itu sahaja, AI juga boleh membahayakan berjuta-juta orang melalui kawalan dan manipulasi orang ramai, penggunaan senjata autonomi yang membawa maut serta kesihatan mental akibat pengangguran sekiranya ia menggantikan sejumlah besar pekerja.

“Walaupun terdapat banyak faedah untuk menamatkan pekerjaan yang berulang, berbahaya dan tidak menyenangkan, kita tahu bahawa pengangguran juga dikaitkan dengan kesan kesihatan dan tingkah laku yang buruk akibat peristiwa itu,” kata pakar. – Agensi

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI