fbpx

Pendaki cilik usia setahun tawan 21 puncak bukit, gunung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR MAIZATUL bersama Nur Nayla Ardani di puncak Gunung Silipat dengan ketinggian 607 meter di Thailand.

PETALING JAYA – Biarpun baru berusia setahun, ia tidak menghalang pendaki cilik, Nur Nayla Ardani Muhammad Arham untuk ‘menawan’ 21 puncak bukit dan gunung di Semenanjung, Sabah dan Thailand.

Nur Nayla Ardani sudah mula dibawa mengenali hutan rimba seawal usia tiga bulan oleh ibunya Noor Maizatul Hazra Yahaya, 38, yang mempunyai minat mendalam terhadap aktiviti hiking.

Noor Maizatul berkata, dia telah mendapatkan izin suami, Muhammad Arham Mohd. Anuar, 27, dan ibu bapa mentua terlebih dahulu sebelum melakukan perkara tersebut.

“Saya memang minat sangat dengan mendaki dan apabila kahwin pada 2021, tak sangka pula selepas itu hamil. Waktu itu, saya mengandung 8 bulan pun masih pergi mendaki.

“Selepas bersalin, bulan pertama saya dah mula tanya suami termasuk keluarga mentua untuk bawa anak mendaki dan tak jangka apabila mereka memberi kebenaran.

“Jadi, lepas pantang dan usia Nayla pun dah tiga bulan lebih, saya bawa dia ke Bukit Batu Putih, Port Dickson di Negeri Sembilan. Alhamdulillah, segalanya selamat dan saya amalkan doa termasuk zikir,” katanya kepada Kosmo!.

NOOR MAIZATUL bersama suami, Muhammad Arham dan anak mereka ketika mendaki Gunung Nuang setinggi 1,493 meter di Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, Nur Nayla Ardani berjaya menjejakkan kaki ke gunung pertamanya iaitu Gunung Angsi dengan ketinggian 824 meter pada usia lapan bulan.

“Selepas itu baru saya bawa Nayla ke Gunung Nuang dan juga Gunung Silipat di Thailand. Sebelum itu, saya banyak meluangkan masa dengan Nayla mendaki bukit kerana tak boleh terus redah gunung yang tinggi,” ujarnya.

Jelas Noor Maizatul, dia juga hanya membawa anaknya mendaki ke lokasi yang dikenali dan sudah biasa pergi.

“Semasa dengan Nayla, saya akan pergi ke tempat yang saya sendiri tahu keadaan treknya, masuk pukul berapa, dan boleh balik pukul berapa serta risiko yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Maizatul yang mempunyai pengalaman lebih 7 tahun sebagai penganjur trip akui bahawa persediaan yang dilakukan adalah tidak mudah.

“Saya akan pastikan saya fit (cergas) dan anak saya selesa untuk duduk dalam carrier kerana perkara ini tidak boleh dipaksa. Semua bergantung kepada keada­an anak.

“Untuk mendaki pula, bara­ngan kena lengkap dan perlu berpasangan sama ada kawan atau suami. Saya juga suka letakkan Nayla di bahagian hadapan supaya mudah dipantau,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang satu tahun mendaki bersama Nayla, dia menerima pelbagai maklum balas positif kerana adalah jarang untuk pendaki lain melihat bayi di bukit atau gunung terutama di Malaysia.

“Alhamdulillah, setakat ini ramai yang memberi kata-kata positif termasuk sokongan dan Nayla juga tidak pernah mena­ngis sekalipun ketika mendaki,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI