SUNGAI BULOH – Keluarga Allahyarham Nur Izzati Humaira Azizul, 19, menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang terlibat dalam usaha pencarian remaja itu di Bukit Changkat Asa sejak Sabtu lalu sehingga jasadnya ditemukan sekitar pukul 11.58 pagi tadi.
Ibu saudara mangsa, Nor Hazelin Masduki, 52, berkata, pihak keluarga amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu secara langsung atau tidak langsung sepanjang operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
“Bagi pihak keluarga, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sama-sama dalam usaha pencarian Nur Izzati Humaira sehingga jasadnya ditemui.
“Kami juga merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung serta yang turut mendoakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, di sini malam ini.
Menurut Nor Hazelin, setakat ini pihak keluarga masih belum menerima sebarang perkembangan berkaitan keputusan bedah siasat mangsa.
Tambahnya, jasad Allahyarham Nur Izzati dijangka dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Trolak Utara, Perak. – KOSMO! ONLINE














