fbpx

Mangsa tragedi Iboi tak sempat beraya di rumah baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Longgokan tanah merah masih belum diratakan di 12 unit rumah baharu bagi penempatan semula mangsa kepala air dan banjir Kampung Iboi di Baling baru-baru ini.

BALING – Hasrat mangsa tragedi kepala air dan banjir di Kampung Iboi, Kupang di sini untuk me­nyambut Aidilfitri di rumah baharu tidak kesampaian apabila 12 unit rumah yang dibina di tapak baharu di Kampung Keda Sadek, di sini belum siap sepenuhnya.

Rumah tersebut dibina di atas tanah milik kerajaan negeri bagi menggantikan kediaman yang musnah dalam bencana itu pada 4 Julai tahun lalu.

Seorang penduduk, Abd. Rahman Said, 72, berkata, dia dan mangsa-mangsa lain hanya mampu memendam rasa apabila melihat tapak rumah baharu itu masih belum boleh diduduki.

“Perancangan kami untuk beraya di rumah sendiri bersama anak cucu, nampaknya tidak ke­sampaian kerana banyak lagi kerja perlu dilakukan pemaju di tapak pembinaan ini.

“Ada rumah yang pintu dan tingkap masih belum dipasang, masih ada longgokan tanah me­rah di sana sini, sistem perparitan belum sempurna dan banyak lagi kerja-kerja akhir yang perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, dia dan penduduk lain berasa agak kecewa kerana sebelum ini rumah tersebut dijadualkan siap pada hujung tahun lalu atau Januari lepas.

“Kami ketika ini menyewa rumah dengan bayaran sewa rumah ditanggung kerajaan negeri sehingga bulan ini dan harap bayaran itu akan disambung hingga rumah baharu siap,” ujarnya.

Bagi mendapatkan rumah baharu itu, mereka perlu membayar antara RM400 hingga RM450 berdasarkan keluasan tanah setelah diadakan cabutan undi nombor rumah bagi membayar duit tapak tanah untuk proses mendapatkan geran.

Seorang lagi penduduk, Azizan Md. Isa, 50, berkata, sambutan raya pasti meriah jika penduduk boleh menduduki rumah baharu pada Aidilfitri ini.

“Tahun ini kami sambut raya di rumah sewa sahaja dan saya rindukan suasana di rumah lama.

“Kami berharap rumah baharu ini dapat disiapkan dalam masa terdekat,” katanya.

Kosmo! pada 31 Disember tahun lalu melaporkan harapan mangsa banjir kepala air di Kampung Iboi untuk memasuki rumah baharu seperti dijanjikan kerajaan negeri masih belum menjadi ke­nyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI