fbpx

YGMB salur manfaat skim keahlian sebanyak RM25 juta sejak 1994

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINUDDIN (tengah) bergambar bersama tiga penerima manfaat YGMB dalam satu majlis di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, di sini hari ini.

KULAI- Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) telah menyalurkan sejumlah RM25 juta kepada penerima dibawah pelbagai kategori manfaat skim keahlian yang disediakan kepada guru-guru, di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, sumbangan berkenaan disampaikan yayasan tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1994 lalu.

Menurut beliau, peruntukan yang diterima ahli melibatkan lebih daripada 35 kategori termasuk khairat kematian, bencana, elaun hospital, hadiah kelahiran anak dan juga hadiah persaraan.

“Sejak ditubuhkan pada 1994, YGMB telah menyalurkan manfaat kepada ribuan ahli-ahlinya melibatkan pelbagai kategori, dimana sumbangan disalurkan berjumlah kira-kira RM25 juta.

“Manfaat yang disalurkan pula antara RM200 melibatkan pelbagai hadiah peristiwa sehingga RM100,000 melibatkan keilatan kekal menyeluruh akibat kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Taklimat Keahlian dan Kebajikan Serta Penyampaian Manfaat Khairat Kematian Kepada Ahli YGMB Skim 18 di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kulai, Yusof Katmi.

Sementara itu, Wan Munadi turut memberitahu, pihaknya menyasarkan keahlian seramai kira-kira 50 peratus daripada jumlah keseluruhan guru-guru di sekolah-sekolah seluruh negara.

“Buat waktu ini, jumlah keahlian berdaftar dengan yayasan ini adalah seramai 130,000 orang, walaupun jumlah itu kelihatan ramai namun sebenarnya ia masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah guru-guru di Malaysia.

“Oleh itu, kita memasang sasaran untuk meningkatkan jumlah keahlian kepada kira-kira 50 peratus jumlah guru di negara ini. Untuk mencapai perkara itu, kita akan melakukan pelbagai program di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran guru-guru tentang manfaat menyertai YGMB,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Munadi turut memberitahu pihaknya telah menyalurkan bantuan kepada lebih 200 ahlinya di Kelantan dan Terengganu yang terjejas akibat bencana banjir, baru-baru ini.

“Buat ahli di negeri ini (Johor) pula, kita sedang melakukan semakan akhir sebelum bantuan disampaikan. Oleh itu kita berharap mana-mana ahli yang terjejas akibat banjir baru-baru ini untuk membuat laporan bencana kepada YGMB,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI