fbpx

Banjir: Sembilan PPS dibuka di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak sembilan PPS dibuka di Negeri Sembilan setakat ini.

SEREMBAN – Sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Negeri Sembilan akibat banjir termasuk empat di Tampin iaitu di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Jelai, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gedok, PPS SK Pasir Besar dan SK Felda Sungai Kelamah.

Tiga lagi PPS dibuka di Jempol iaitu di SK Palong 1 dan SK Palong 7 serta di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sialang, Bahau, manakala di Kuala Pilah dua PPS dibuka iaitu Dewan Desa Dangi dan di SK Pilah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Mohd. Fadhil Hassan berkata, sehingga pukul 6 petang tadi, seramai 46 mangsa banjir dari tujuh buah keluarga telah ditempatkan di PPS SAR Jelai.

“Manakala, data di PPS lain masih lagi sedang dikumpulkan. Keadaan masih hujan dan semua agensi telah bersiap sedia di lapangan. Penduduk juga diminta bersiap sedia jika diarahkan untuk berpindah,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, sebanyak sembilan keluarga melibatkan 26 mangsa di Kampung Air Taling dan Kampung Tulang Rimau, Kuala Pilah yang terjejas akibat banjir kilat dipindahkan ke PPS Dewan Desa Dangi pukul 6.40 petang tadi.

“Selain itu, terdapat tujuh buah keluarga dari Kampung Air Taling, satu keluarga dari Kampung Tulang Rimau dan sebuah lagi keluarga dari Simpang Dangi telah dipindahkan ke bangunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dangi kerana laluan terputus,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Mejar (PA) Shamil Ithman memaklumkan, seramai 42 mangsa banjir ditempatkan di PPS SK Palong 7 di Jempol, manakala 29 mangsa lagi ditempatkan di PPS SK Palong 1.

Katanya, kedua-dua PPS berkenaan telah dibuka pada pukul 2.12 petang dan 4.18 petang tadi dan di PPS SJKT Ladang Sialang pula, tiga buah keluarga ditempatkan di situ yang melibatkan tujuh mangsa banjir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI