fbpx

Cef didenda RM3,500, sembunyi duit nenek mangsa ‘love scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diringi anggota polis selepas didapati menyembunyikan wang warga emas yang menjadi mangsa ‘Love Scam’ di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Padah menyembunyikan wang sebanyak RM17,000 milik warga emas yang menjadi mangsa ‘Love Scam’, seorang cef dijatuhi hukuman denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, M. Mizwan Omar, 43, yang mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyembunyikan harta iaitu wang RM17,000 milik Hafshah Muhammad, 64, dalam akaun Maybank dengan mempunyai sebab untuk mempercayai ia diperoleh dengan cara penipuan di Maybank Ayer Keroh pada 26 Julai 2017.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, warga emas berkenaan dikatakan berkenalan dengan lelaki warga United Kingdom (UK) dikenali Franklin Marcelo Scott melalui laman sosial Interpal.net pada Jun 2014.

Selepas tiga tahun berkenalan lelaki itu ingin meminjam wang sebanyak RM17,000 dan berjanji akan membayarnya.

Wanita berkenaan kemudian telah memindahkan amaun tersebut ke dalam akaun Maybank (atas nama tertuduh) yang dikatakan kenalan kepada lelaki terbabit dan menetap di Malaysia.

Warga emas itu hanya menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis selepas tidak menerima sebarang bayaran sehingga Disember 2017 serta mendapati alamat laman sosial Skype digunakan Franklin Marcelo Scott dikesan berada di Malaysia.

Tertuduh turut mengaku telah memberikan butiran akaun kepada seorang wanita untuk dipinjamkan dan siasatan polis mengesahkan terdapat kemasukan wang warga emas berkenaan berjumlah RM17,000 pada 26 Julai 2017.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dengan alasan kini bekerja sebagai cef dan mempunyai tanggungan keluarga termasuk dua orang anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Mazana memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM3,500 atau penjara enam bulan jika gagal bayar. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI