fbpx
Ariffin (tiga dari kiri) menunjukkan beg dan dompet yang disita dalam dua serbuan pada Isnin lalu.

KPDN sita beg, dompet tiruan bernilai lebih RM250,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur (KPDN KL) menyita beg serta dompet tiruan bernilai lebih RM250,000 dalam dua serbuan melibatkan premis pemborong di Jalan Haji Taib, Chow Kit dan sebuah stor penyimpanan di Pandan Perdana pada Isnin lalu.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, sebanyak 11,381 unit barangan tiruan terdiri daripada beg, dompet dan beg tangan berjenama berjaya disita.

“Jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM250,000 dan dipakaikan cap secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

“Premis pemborong yang beroperasi di Chow Kit didapati menjual barangan tiruan tersebut secara dalam talian kepada pelanggan di seluruh Malaysia,” jelasnya pada sidang media di Stor Eksibit KPDN KL hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, stor penyimpanan di Pandan Perdana, di sini, memiliki ribuan beg berjenama menjadi pembekal utama kepada pemborong serta peruncit di sekitar Kuala Lumpur.

“Mereka turut menghantar bekalan kepada peniaga di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Hasil serbuan mendapati, kedua-dua premis dimiliki oleh individu sama dan perniagaan berkenaan beroperasi lebih daripada lima tahun.

“Seramai tiga individu lelaki tempatan terlibat dalam modus operandi berkenaan. Seorang pemilik dan dua pekerja yang berusia 30 hingga 40 tahun,” jelasnya.

Menurutnya, bekalan berkenaan diperolehi dari negara China manakala tujuan penjualan adalah kepada orang ramai yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Kos barangan adalah bernilai RM10 hingga RM80 seunit. Peniaga akan menjual dengan harga RM60 sehingga RM200 seunit beg atau dompet bergantung kepada kualiti barangan.

“Kes disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” ujarnya.

Sehubungan itu, KPDN menyeru orang ramai supaya tidak terlibat dalam urus niaga melibatkan barang tiruan berjenama sekali gus bersubahat membeli barangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN