MELAKA – Taktik licik sepasang kekasih menyunting resit QR bagi pembelian rokok dalam kuantiti besar akhirnya terbongkar apabila mereka diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kampungku Sayang, di sini, Isnin lalu.
Suspek berusia 25 dan 32 tahun itu dicekup pada pukul 3.31 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek telah menjalankan kegiatan tersebut sejak Mac lalu dengan menyasarkan stesen minyak sekitar daerah Melaka Tengah.
Katanya, modus operandi sindiket itu adalah dengan mengambil rokok dalam jumlah besar sebelum membuat bayaran menggunakan resit palsu yang telah disunting melalui aplikasi WPS Office.
“Suspek dipercayai menunjukkan bukti pembayaran palsu kepada pekerja premis sebelum beredar dengan barangan tanpa membuat bayaran sebenar.
“Rokok yang diperoleh kemudian dipercayai dijual semula kepada kedai-kedai runcit sekitar Bukit Baru pada harga kira-kira RM10 sekotak bagi mendapatkan keuntungan segera,” katanya kepada pemberita.
Ujarnya, hasil tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan enam kes penipuan melibatkan modus operandi sama dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM2,955.50.
“Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula 21 hingga 24 April bagi membantu siasatan lanjut.
“Orang ramai khususnya pemilik perniagaan dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan membuat semakan teliti terhadap transaksi bayaran QR Pay serta pemindahan wang dalam talian sebelum membenarkan pelanggan meninggalkan premis,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420/471 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen. – KOSMO! ONLINE














