fbpx

Kerajaan Perpaduan digesa hapus Akta SOSMA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMASAMY (tiga dari kiri) ketika mengadakan perjumpaan bersama ahli keluarga tahanan SOSMA dari Kedah di Komtar, di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Perpaduan diminta menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana disifatkan sebagai akta kejam apabila tahanan tidak boleh diadili mengikut proses undang-undang.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy berkata, SOSMA juga dilihat sebagai akta yang bertentangan dengan perikemanusiaan kerana pihak berkuasa boleh menangkap sesiapa tanpa waran dengan hanya mempercayai pihak tersebut terlibat dalam kesalahan keselamatan.

“Individu boleh ditahan maksimum 28 hari tanpa dibicarakan di mahkamah dan akses boleh ditangguhkan kepada keluarga tahanan serta peguam sehingga 48 jam selepas ditahan.

“Malah, ikat jamin juga adalah tidak dibenarkan kepada tahanan-tahanan, saya tidak bermaksud bahawa tahanan SOSMA tidak bersalah, tetapi kenapa mereka tidak ditahan di bawah undang-undang sedia ada seperti di bawah Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Komtar, di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah ahli keluarga 33 individu dari Kedah yang dikenakan tahanan dibawah SOSMA sejak 2020 tanpa dibicarakan.

Menurut Ramasamy, pada masa ini, terdapat lebih 100 tahanan yang ditahan di seluruh negara tanpa dibicarakan di mahkamah di bawah SOSMA.

“Kami gesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu mereka yang ditahan di bawah SOSMA agar mereka boleh dilepaskan daripada tahanan dan kemudian dibicarakan di mahkamah.

“Kami juga menggesa Kerajaan Pusat untuk memansuhkan SOSMA, sepertimana kerajaan menghapuskan undang-undang kejam iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tahanan-tahanan SOSMA telah melalui pelbagai keperitan seperti masalah kemerosotan tahap kesihatan, masalah kebersihan dan impak negatif psikologi semasa berada dalam penjara.

“Kebanyakan tahanan SOSMA adalah berusia muda iaitu 40 tahun ke bawah dan mereka berasal dari keluarga berpendapatan rendah serta merupakan ketua keluarga yang menyara hidup ahli keluarga yang lain.

“Ahli keluarga tahanan SOSMA juga telah mengalami pelbagai keperitan terutamanya masalah kekangan kewangan yang serius bagi perbelanjaan sara hidup dan juga terpaksa mengeluarkan wang bagi mendapatkan khidmat peguam untuk mewakili tahanan,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya, keluarga kesemua tahanan SOSMA turut merayu kes difailkan terhadap tahanan agar mereka dapat membantu tahanan mengikut undang-undang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI