PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) menegaskan pendirian parti itu untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan sekali gus menolak dakwaan kononnya gabungan tersebut mengkhianati kerjasama politik sedia ada.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, BN Malaysia menghormati pendirian yang disuarakan BN Johor berkaitan hala tuju serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut beliau, perkara itu selaras dengan pandangan semua pihak dalam parti komponen BN negeri berkenaan.
“Barisan Nasional berpendirian bahawa persefahaman dan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 adalah atas tanggungjawab kenegaraan bagi mengelakkan Malaysia terjerumus dalam polemik politik berpanjangan.
“Persefahaman ini disepakati sehingga mandat berakhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zambry berkata, susulan itu tidak timbul soal BN mengkhianati Kerajaan Perpaduan seperti didakwa pihak tertentu.
Katanya, BN akan terus memainkan peranan dalam memelihara kestabilan kerajaan selain memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Terdahulu, kenyataan melibatkan pendirian BN Johor berhubung kerjasama politik bagi menghadapi PRN akan datang menjadi perhatian pelbagai pihak dan mencetuskan spekulasi mengenai hubungan dalam Kerajaan Perpaduan. – KOSMO! ONLINE














