PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmen untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen semua parti komponen dalam kerajaan Madani yang terus mengutamakan kestabilan politik demi kepentingan rakyat dan negara.
“Komitmen ini membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani cabaran ekonomi susulan krisis di Asia Barat serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya pada sidang akhbar mingguan Menteri Komunikasi hari ini.
Tambah Fahmi, sokongan berterusan daripada parti-parti komponen juga penting bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan berkesan.
Katanya, kerajaan kini memberi fokus terhadap usaha memperkukuh ekonomi negara selain memastikan bantuan dan sokongan kepada rakyat tidak terjejas. – KOSMO! ONLINE














