fbpx

Sejam terapung tengah laut, pengalaman paling mahal Saharul Ridzwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAHARUL RIDZWAN bakal muncul dengan filem berjudul Coast Guard Malaysia: Ops Helang pada 2 Februari nanti.

SHAH ALAM – Ditinggalkan lebih sejam di tengah Laut Andaman sementara menanti ketibaan pasukan penyelamat antara babak dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang paling meninggalkan impak buat Saharul Ridzwan.

Begitupun, situasi hanya berpaut pada pelampung dan dihempas gelombang sepanjang di tengah laut tidak seteruk ketika berdepan ketibaan helikopter penyelamat  memandangkan angin akibat kipas jentera tersebut beberapa kali menenggelamkan tubuhnya.

“Filem ini memberikan pengalaman ‘mahal’ kerana sarat aksi sebenar pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berdepan pelbagai cabaran ketika melaksanakan operasi.

“Saya bertuah dapat mengikuti latihan asas selama sebulan ditambah dua bulan lagi untuk persediaan tambahan yang cukup menguji mental dan fizikal walau hakikatnya apa yang saya ikuti hanya 10 peratus saja daripada keseluruhan latihan.

“Saya akui ‘berperang’ dengan diri sendiri terutama mahu melawan ketakutan terhadap laut yang selama ini saya cuba elakkan memandang saya tidak pandai berenang.

“Apabila sudah lama memasang impian membintangi filem aksi, tentu saja setiap dugaan saya redah saja walau badan penuh lebam kerana hampir semua babak lasak saya lakukan sendiri di bawah pemantauan anggota profesional,” katanya usai pelancaran lagu tema filem berbajet RM13 juta itu di  Stesen Udara Maritim Subang, semalam.

Lagu tema berjudul Yes, Sir itu didendangkan oleh Zamani Ibrahim bersama penyanyi rap, Ariff Peter.

Berkongsi lagi pengalaman, aktor berusia 33 tahun itu mengakui, walau naskhah terperap selepas tiga tahun, situasinya tetap relevan selain amat sentimental apabila menjadi sentuhan terakhir sutradara Allahyarham Pitt Hanif yang juga anak sulung Fauziah Nawi.

“Saya masih ingat hari terakhir penggambaran Pitt mendekati saya sambil berkata perkara besar akan menanti saya. Keesokkan harinya saya dapat khabar Allahyarham sudah tiada.

“Sudah pasti filem yang turut membariskan Julia Farhana, Adlin Aman Ramlie dan ramai lagi pelakon lain ini punya nilai sentimental buat saya malah sampai ke hari ini saya masih tertanya-tanya maksud di sebalik ungkapan Allahyarham.

“Apa pun saya bersyukur dengan izin-Nya saya berpeluang bekerja dengan Pitt yang banyak mengajar serta meninggalkan pengalaman buat kami semua. Arwah mempunyai sentuhan tersendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI