fbpx

Masalah komunikasi punca dakwaan layanan buruk di Hospital Pasir Mas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan anak lelaki Azimah yang cedera selepas terlibat kemalangan pada Sabtu lalu. FOTO IHSAN FACEBOOK AZIMAH ABDULLAH ZAWAWI

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) memaklumkan bahawa terdapat masalah komunikasi sehingga menyebabkan timbulnya dakwaan pesakit remaja diberikan layanan buruk semasa menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM) minggu lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, sehubungan itu pihak HPM akan menjalankan siasatan lanjut dan konsultasi bersama semua pihak terbabit termasuk pesakit dan keluarga.

Katanya, JKNK memandang serius dan akan mengambil tindakan menyeluruh terhadap insiden itu.

“Berdasarkan laporan awal, seorang pesakit lelaki yang berusia 16 tahun menerima rawatan di HPM pada 14 Januari lalu akibat kemalangan jalan raya.

“Diagnosis awal mendapati, mangsa mengalami kecederaan gigi akibat kemalangan motosikal dan rawatan kecemasan di Jabatan Kecemasan HPM telah diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaini, kes itu juga telah dirujuk kepada Jabatan Bedah Mulut, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan pakar lanjut dan pesakit telah diberikan janji temu dengan segera.

Terdahulu, tular satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang wanita dikenali sebagai Azimah Abdullah Zawawi di Facebook meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan layanan dan rawatan diterima anaknya semasa berada di HPM pada Sabtu lalu.

Azimah mendakwa, anak lelakinya telah terlibat dalam kemalangan dan dihantar ke Unit Kecemasan hospital itu untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan
di muka dan mulut.

“Luka pada mulut anak saya telah dijahit, doktor meminta Adam Mikhail Nor Azrean dibawa pulang walaupun ketika itu dia masih lemah dan mengalami muntah-muntah.

“Saya dan suami merayu supaya anak dimasukkan ke hospital untuk pemantauan kerana keadaannya masih lemah, namun doktor bertugas memberi alasan wad penuh selain menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya,” dakwanya.

Azimah memberitahu, dia berkali-kali merayu selain meminta anak dipindahkan HRPZ II memandangkan anak perlu dirujuk ke Pakar Bedah Mulut di hospital yang sama keesokan harinya, namun alasan sama turut diberikan pihak hospital.

Katanya, kecewa dengan situasi itu, dia telah membawa anaknya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI