fbpx

RM100,000 disamun: Agihan wang RM150 SK Kg. Rinching ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan guru besar sekolah terbabit yang disamun di hadapan sebuah bank semalam.

PETALING JAYA – Penyerahan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Kg. Rinching, Beranang, Semenyih, terpaksa ditangguhkan berikutan kejadian samun yang terjadi pagi semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh akaun Facebook rasmi sekolah itu sendiri pada malam tadi selepas wang lebih RM100,000 yang dikeluarkan oleh guru besar sekolah terbabit disamun di hadapan sebuah bank.

“Untuk makluman ibu bapa dan penjaga, penyerahan BAP yang dijadualkan pada Selasa, 17 Januari, ditangguhkan pada tarikh yang akan ditetapkan nanti. Maaf atas kesulitan,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Terdahulu Kosmo! melaporkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, mengesahkan telah menerima aduan pada pukul 12.17 tengah hari daripada mangsa, lelaki tempatan berusia 50 tahun dan merupakan guru besar di sekolah itu.

Hasil siasatan pihak polis Mohd. Zaid berkata, mangsa yang berseorangan ketika kejadian telah mengeluarkan wang BAP berjumlah lebih kurang RM109,000.00 dari sebuah bank di kawasan Kampung Baru Semenyih.

“Selepas selesai urusan, mangsa meninggalkan wang itu yang disimpan dalam sebuah beg, di dalam keretanya jenis Toyota di bahagian tempat duduk hadapan sebelah penumpang, sebelum ke sebuah restoran untuk membeli minuman.

“Selang hampir 10 minit apabila kembali ke kenderaan, mangsa dapati cermin kereta miliknya telah dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang, dan beg yang berisi wang tunai tersebut telah dicuri,” katanya.

Katanya lagi, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai tiga juta murid yang memasuki Tahun Dua hingga Tingkatan Lima tanpa mengira had pendapatan ibu bapa akan menerima BAP bernilai RM150 seorang bermula semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI