fbpx

Gaji minimum: Majikan kurang 5 pekerja tangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju untuk meneruskan penangguhan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga 1 Julai 2023.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata, majikan dalam kategori berkenaan diberikan penangguhan selama enam bulan berbanding tarikh penguatkuasaan asal iaitu 1 Januari 2023 yang ditetapkan sebelum ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun depan.

“Penangguhan tambahan selama enam bulan ini juga diharap memberikan peluang untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan yang akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat yang menggajikan kurang daripada lima pekerja.

“Kementerian Sumber Manusia berharap penangguhan ini diterima baik oleh semua pihak,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 mula berkuatkuasa pada 1 Mei lalu dengan kadar sebanyak RM1,500 sebulan bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih tetap perlu memberikan gaji minimum sebanyak RM1,500.

Katanya, ia termasuklah majikan menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).

“Justeru majikan yang tidak terlibat dengan penangguhan ini hendaklah terus mematuhi pelaksanaan PGM dengan membayar gaji minimum RM 1,500 sebulan kepada pekerja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI