fbpx

Avatar 2, tiga jam yang ‘luar biasa’ berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AVATAR: The Way of Water ditayangkan di pawagam sejak 15 Disember lalu. - Disney.

SEMPURNA. Itu gambaran satu perkataan usai meninggalkan bangku audiens menonton filem dinanti-nanti ramai, Avatar: The Way of Water.

James Cameron sebagai pengarah sekali lagi membuktikan kepada dunia bahawa tiada apa yang mustahil dalam dunia sinematik. Ternyata, 13 tahun penantian selepas filem pertama diterbitkan sungguh berbaloi.

Berdurasi lebih tiga jam, Avatar 2 ternyata sempurna daripada segala sudut termasuk penceritaan, kesan visual, terjemahan karakter, skor muzik dan sebagainya.

Sejujurnya, penulis kehilangan ungkapan untuk menggambarkan betapa hebat dan luar biasanya karya ini. Betapa jenama filem sebegini memberikan dampak cukup hebat dalam kehidupan realiti seorang pencinta panggung.

Sinergi karakter antara pelakon yang membintangi filem Avatar 2 amat berkesan seolah-olah mereka benar-benar hidup dan Pandora itu satu penempatan yang sungguh wujud.

Kesan visual hebat

Dari segi kesan visualnya, kalau ada dalam kalangan khalayak berpendapat, teknologi tiga dimensi (3D) tidak lagi relevan namun tunggu atau saksikan sendiri apa yang disajikan dalam Avatar 2 ini.

Kalau ada yang berasakan Wakanda ataupun Talokan dalam Wakanda Forever itu perkara paling mengujakan dalam dunia sinematik, nikmati sendiri kehebatan yang ada di Pandora dalam Avatar: Way of Water.

Penulis tidak tahu tentang tanggapan orang lain, tetapi apa yang dipaparkan dari segi kesan visual dalam Avatar 2 membuatkan segala apa yang ditonjolkan dalam filem-filem Marvel sebelum ini ‘jatuh terduduk’ di kelas amatur.

James Cameron dan kru yang bekerja untuk menghidupkan suasana itu, memang benar-benar genius dan membuka satu lagi lembaran baharu dalam industri perfileman dunia.

Kalau Avatar pertama dahulu, mereka melakukan anjakan yang disifatkan sebagai mustahil. Kali ini, apa yang mustahil sekali lagi direalisasikan.

Dunia Pandora yang dipaparkan dalam sekual kali ini cukup hebat visualnya terutama di dasar laut suku Metkayina.

Sinergi karakter cemerlang

Dari segi plot atau jalan cerita pula, secara peribadi, sekuel ini dikembangkan dengan cemerlang dari segi naratif.

Sinergi karakter antara para pelakon sangat memuaskan. Jake Sully (Sam Worthington) dan Neytiri (Zoe Saldaña) terus membuatkan penonton jatuh cinta dengan dunia Pandora. Cetusan ‘kimia’ antara mereka sangat berkesan.

‘The Sullys stick together’ adalah frasa lazim sering diucapkan keluarga Sully itu kekal terngiang-ngiang dalam fikiran penulis untuk menderaskan kehidupan dengan penuh kasih sayang dan taat setia kepada yang tersayang bernama keluarga. Itu yang positif dihadirkan daripada filem ini.

Cetusan kimia antara watak utama iaitu Jake dan Neytiri ternyata masih berbisa dengan kehadirian Avatar 2 selepas 13 tahun ‘diperam’.

Nostalgia mengagumkan

Tidak mahu terlalu memberi banyak spoilers, namun ada watak yang ‘dihidupkan’ semula dalam bentuk Avatar.

Perkara itu tidak mematikan adrenalin penonton untuk mengikuti perkembangan kisah dalam filem ini.

Watak apa dan bagaimana, itu perlu dijawab dengan menonton karya terbaharu ini.

Dalam pada itu, ada beberapa karakter baharu yang cemerlang diterjemahkan. Antaranya, watak Ronal yang dimainkan oleh ‘kesayangan’ pengarah iaitu Kate Winslet.

Sebenarnya terlalu banyak perkara mengagumkan untuk dinukilkan dalam bentuk aksara tentang filem ini.

Pada hujung filem, ada vibe daripada Titanic yang sangat memberi nostalgia. Ini membuktikan Cameron seorang pengarah luar biasa.

Tahniah Avatar: The Way of Water. Daripada 100, penulis tidak teragak-agak untuk memberikan markah 98. Tiga jam yang sangat tidak membosankan dan benar-benar berbaloi.

Watak baharu seperti Ronal (Kate Winslet) ternyata memberi ‘sesuatu’ buat pencinta jenama filem pecah panggung tersebut.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI