fbpx

Remaja Myanmar, rakan dicekup larikan kekasih usia 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

BACHOK – Dua lelaki warganegara Myanmar termasuk seorang remaja ditahan selepas dipercayai melarikan seorang kanak-kanak dari rumahnya di Kampung Pengkalan Cina di sini kelmarin.

Kedua-dua lelaki itu diberkas di stesen bas Selising, Pasir Puteh malam semalam bersama mangsa yang berusia 10 dan juga merupakan warganegara Myanmar.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, siasatan mendapati, bapa kanak-kanak itu meninggalkan mangsa bersama adiknya yang berusia lapan tahun di rumah kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin untuk pergi ke klinik.

Menurutnya, apabila lelaki itu pulang ke rumah pada pukul 9 malam, dia mendapati mangsa tiada di rumah dan hanya tinggal adiknya seorang diri.

“Adik mangsa memaklumkan bahawa dua lelaki Myanmar telah datang mengambil kakaknya. Bapa mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Bachok kira-kira pukul 8.58 pagi semalam dan polis membuat serbuan ke rumah suspek selain menjalankan Op Tutup di sempadan melibatkan kawasan daerah Bachok dan Pasir Puteh.

“Bagaimanapun, polis berjaya mengesan dua suspek berusia 28 dan 17 tahun bersama kanak-kanak itu kira-kira pukul 9 malam semalam di stesen bas Selising,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Ismail, pemeriksaan fizikal terhadap mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu mendapati kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Katanya, berdasarkan siasatan polis, mangsa mengaku telah mengikut suspek dengan kerelaannya selain mengaku remaja berusia 17 tahun yang bekerja sebagai buruh itu merupakan kekasihnya.

“Suspek yang berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai direman lima hari bermula hari ini manakala seorang lagi suspek ditahan selama empat hari di lokap Balai Polis Bachok,” katanya.

Tambah Mohamad Ismail, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI