fbpx
Pengunjung ke Langkawi meningkat mendadak pada musim cuti sekolah, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan di pulau peranginan itu. – Gambar hiasan

Penumpang feri naik melonjak musim cuti sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Jumlah penum­pang yang menggunakan per­khidmatan feri untuk keluar masuk ke pulau peranginan itu meningkat lebih 50 peratus sempena cuti sekolah.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, sebelum ini purata penumpang yang keluar masuk Pulau Langkawi adalah antara 4,500 hingga 5,000 orang.

“Jumlah itu meningkat apabila kita mencatatkan seramai 8,456 orang penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri melalui kedua-dua terminal di Kuala Kedah dan Kuala Perlis,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya, pihaknya membuka kira-kira lima perjalanan pergi dan balik sehari bagi setiap la­luan Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi.

“Kekerapan perjalanan akan ditambah mengikut permintaan dan sekiranya tiket feri habis dijual lebih awal, pihak operator akan menambah perjalanan feri.

“Bagaimanapun, perjalanan feri masih bergantung kepada pasang surut air laut yang tidak menentu menyebabkan jadual perjalanannya juga terikat de­ngan situasi itu,” jelasnya.

Menurut beliau, penumpang yang ingin ke Langkawi diminta untuk merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan percutian mereka berjalan lancar.

Selain itu, Baharin memberi­tahu, pihaknya juga telah mengambil langkah untuk memastikan feri yang digunakan adalah selamat dan selesa dengan melakukan penyelenggaraan berkala pada pe­ngangkutan tersebut.

“Feri yang memerlukan pembaikan akan dihantar ke dermaga dan tidak akan beroperasi sehinggalah ia benar-benar selamat untuk belayar,” ujarnya.

Tambahnya, isu feri terkandas disebabkan tersangkut kabel pengerukan juga dijangka tidak akan berulang lagi apabila kontraktor terlibat telah mengalihkan kabel boya tambatan kapal pengerukan tersebut keluar dari alur pelayaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN