GEORGE TOWN – Pembekal dan pemborong telur ayam menolak pelan jangka pendek kerajaan mengimport barangan kawalan itu dari luar dan mahu agensi berkaitan mengkaji serta menyelesaikan masalah di peringkat peladang di negara ini terlebih dahulu.
Rata-rata mereka yang ditemui Kosmo! di sini semalam tidak bersetuju dengan solusi tersebut sekali gus menyifatkan keputusan itu sememangnya akan memberi implikasi besar kepada pembekal dan pengguna kelak.
Seorang pemborong telur ayam dikenali sebagai Jenny, 45, berkata, Malaysia masih mempunyai keupayaan untuk mengeluar dan membekalkan telur ayam dengan kuantiti yang banyak menerusi hasil kerjasama serta bantuan daripada pihak kerajaan.
Menurutnya, tindakan membawa masuk barangan asas itu dari luar sememangnya akan menjejaskan pendapatan dan bisnes peniaga tempatan kesan daripada pengimportan keperluan utama rakyat itu.
“Tidak mahu telur ayam dari luar. Kita tidak pasti sumber dan cara pengeluarannya serta piawaian yang ditetapkan di negara luar. Memang akan timbul keraguan daripada pelbagai pihak.
“Selain dijangka berlaku kenaikan harga telur ayam import, bimbang juga akan jangka hayatnya selain telur rosak dan tidak akan tahan lama.
“Pengguna juga akan meragui jualan sumber dari luar itu. Dengan keadaan ini, jelas akan menjejaskan sumber pendapatan pembekal dan peniaga telur tempatan,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, perniagaannya telah terjejas teruk akibat kekurangan bekalan telur sejak dua bulan lalu.
“Bulan ini sahaja, kami terkesan sehingga 50 peratus,” tambah Jenny.
Selasa lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenal pasti beberapa sumber dari luar bagi menampung keperluan dengan segera seterusnya memastikan bekalan telur ayam di pasaran terjamin.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, tindakan itu merupakan pelan jangka pendek yang diambil oleh kementeriannya bagi merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keterjaminan bekalan telur ayam dalam negara pada Isnin lalu.














