fbpx

Pusat kitar semula berjaya kurangkan lima peratus sampah di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Loy Sian (tengah) menandatangani perasmian Pusat Kitar Semula Komuniti dan Karnival 5R sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan.

SHAH ALAM – Kira-kira 250 pusat kitar semula yang berada di Selangor mampu mengurangkan lima peratus daripada jumlah keseluruhan sampah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, walaupun kaedah kitar semula bukan suatu perkara baharu, namun ia memberi banyak faedah sekiranya diamal secara rutin.

“Di Selangor sahaja, kita mempunyai 250 pusat kitar semula masih aktif beroperasi yang terdiri daripada bangunan berstruktur kekal, kabin dan tong kitar semula termasuk di Shah Alam terdapat 16 buah.

“Dengan adanya pusat kitar semula ia dapat mengurangkan lima peratus jumlah keseluruhan sampah, menjimat kos pelupusan sampah, mengelak kejadian longgokan sampah dan mendidik masyarakat kepentingan kitar semula,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kitar Semula Komuniti di Seksyen U13 dan Program Karnival 5R yang turut dihadiri Datuk Bandar Shah Alam, Dr. Nor Fuad Abdul Hamid.

Loy Sian berkata, pihaknya berharap komuniti memainkan peranan dengan sentiasa mengamalkan budaya kitar semula dengan menghantar barangan ke pusat kitar semula berhampiran kediaman mereka.

“Untuk menjayakan kitar semula memerlukan kerjasama semua termasuk masyarakat. Kerajaan negeri membekalkan tempat dan infrastruktur tetapi menghantar barangan dan pengasingan melibatkan penduduk.

“Pusat kitar semula sedia ada memang tidak mencukupi dan kita sedang dalam usaha untuk memperbanyakkannya terutama di kawasan separuh bandar,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI