fbpx

Pelajar kolej antara empat ditahan, rampas syabu RM13 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arjunaidi (tengah) ketika sidang akhbar rampasan dadah hari ini. -Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Kelicikan empat penghantar dadah termasuk seorang pelajar kolej swasta melakukan kerja mereka sejak enam bulan lalu berakhir selepas ditahan di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Putrajaya baru-baru ini.

Mereka yang berusia 22 hingga 37 tahun itu ditahan pada pukul 1.40 tengah hari, Isnin lalu ketika melakukan urusan pertukaran kurier dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya merampas syabu seberat 378.84 kilogram (kg) bernilai 13.26 juta.

Katanya, dadah dalam bungkusan teh Cina itu dirampas di dalam kenderaan pelbagai guna (MV) jenis Toyota Vellfire di kawasan parkir pusat beli-belah serta dalam kondominium di Putrajaya.

“Semakan mendapati dua daripada suspek merupakan pekerja kedai makan dan seorang lagi pelajar diploma sebuah akademi (kolej swasta).

“Kita masih menyiasat jumlah upah yang diterima mereka,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Kata beliau, tindakan juga diambil di bawah pelucuthakan harta menerusi sitaan pacuan empat roda Nissan Navara dan kenderaan utiliti sukan Honda CRV, akaun bank dan jam Tissot bernilai RM240,504.

Kesemua dadah itu diperoleh dari negara jiran untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Kita masih menyiasat sama ada empat suspek ini mempunyai kaitan dengan tangkapan bekas pemandu e-hailing di Subang Jaya pada 30 November kerana menggunakan modus operandi sama.

“Siasatan juga dilakukan sama ada empat suspek ini terlibat dalam kongsi gelap serta dalang sindiket ini,” katanya.

Ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek termasuk pelajar kolej positif tetrahydrocannabinol (THC) dan opiat.

“Semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39B dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selain Seksyen 394 dan 395/170 Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI