AMPANG JAYA – Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah untuk bersiar-siar bersama rakan-rakannya sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, laporan berhubung kehilangan mangsa berusia 16 tahun dibuat oleh ibunya pada pukul 6 petang semalam.
Menurut beliau, pengadu memaklumkan bahawa anak perempuannya telah menghantar mesej sekitar pukul 12 tengah hari pada hari kejadian menyatakan hasrat untuk keluar bersama rakan, namun sehingga kini masih belum pulang ke rumah.
“Remaja berkenaan dikenali sebagai Puteri Nur Quraitul Aini Abdullah berusia 16 tahun tujuh bulan.
“Mangsa mempunyai ketinggian 167 sentimeter dengan berat kira-kira 49 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lokasi terakhir mangsa dikesan adalah di Gladen Court CE-3-15, Jalan Wawasan 1/10, Bandar Baru Ampang di sini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222.
“Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faizah Mohd. Anuar di talian 017-3422804 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta tidak membenarkan mereka keluar bersendirian tanpa pengawasan.
“Sebarang kecemasan boleh terus menghubungi talian MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE














