KAJANG – Seramai tujuh pelajar telah dikenakan tindakan oleh pihak sekolah susulan satu video kejadian buli yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata , pihaknya mengesan rakaman berdurasi 47 saat itu yang memaparkan sekumpulan pelajar didakwa melakukan buli secara lisan terhadap seorang pelajar perempuan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan mendapati insiden berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi semalam melibatkan tujuh pelajar daripada kelas berbeza.
“Rakaman tidak menunjukkan berlakunya sentuhan fizikal atau interaksi lisan yang bersifat agresif.
“Susulan kejadian, pihak sekolah bersama Pegawai Polis yang merupakan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) telah mengambil tindakan segera dengan mengadakan sesi pertemuan dan libat urus melibatkan ibu bapa serta penjaga mangsa dan pelajar terlibat.
“Selain tindakan sewajarnya turut dikenakan terhadap kesemua tujuh pelajar tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihak polis akan terus bekerjasama rapat dengan sekolah bagi memastikan sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesejahteraan pelajar, termasuk kata-kata yang berpotensi mengganggu emosi, dapat ditangani dengan segera.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan beberapa pelajar lelaki dan perempuan di sebuah sekolah menengah di Kajang mengganggu seorang pelajar perempuan di dalam kelas. – KOSMO! ONLINE














