fbpx
Keadaan sebuah SUV jenis Honda HR-V yang merempuh mangsa di depan surau SMK Tanjong Mas, Kota Bharu pada Ahad lalu.

Mangsa kedua dilanggar ustazah jalani bedah tampal cuping telinga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang pelajar yang cedera selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang guru Pendidikan Islam di depan surau sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Tanjong Mas di sini pada Ahad lalu akan menjalani pembedahan tampalan cuping telinga pada Isnin ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, mangsa, Zara Aftar Zamzuri, 13, sudah dipindahkan ke Wad 10 iaitu wad kelas pertama di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas pembedahan baru-baru ini.

Menurutnya, mangsa sebelum ini mengalami kecederaan patah kaki, luka pada muka dan telinga.

“Insya-Allah, remaja itu akan menjalani prosedur grafting (tampalan) pada bahagian cuping telinga pada Isnin ini. Pembedahan itu dijalankan untuk mencantikkan bahagian cuping telinga yang luka.

“Kemalangan itu menyebabkan telinga mangsa koyak dan dipenuhi kotoran. Selepas prosedur pembersihan dijalankan, kita lihat granulasi tisu berada dalam keadaan baik sebelum pembedahan tampalan kulit telinga dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mohd. Azman memberitahu, mangsa dijangka akan menjalani pelbagai lagi prosedur rawatan bagi mengelakkan terkena jangkitan kuman lebih-lebih lagi di kawasan muka dan telinganya yang cedera.

Menurutnya, selain itu, Zara Aftar sudah menjalani bantuan awal psikologi untuk menjaga emosi mangsa dan prosedur tersebut akan terus dijalankan.

“Pakar psikiatri kanak-kanak turut terlibat dalam memastikan emosi mangsa dapat kembali stabil seperti sebelum berlakunya kemalangan itu,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, luluh hati seorang bapa melihat anaknya terbujur dalam keadaan tidak bernyawa di dalam surau selepas dirempuh sebuah SUV jenis Honda HR-V di dalam kawasan SMK Tanjong Mas di sini pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari itu, arwah Nur Fatimatul Hawa, 13, disahkan meninggal dunia di depan surau itu akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan tersebut berpunca daripada pemandu SUV berkenaan yang dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.

Menurutnya, seorang lagi mangsa yang merupakan rakan kepada arwah mengalami kecederaan sebelum dihantar ke HRPZ II di sini untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN