fbpx

MBI peruntuk dana tambahan RM2 juta atasi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumaizi (kiri) bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Penyambungan Jalan Utama Meru Raya-Klebang di Ipoh hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperuntukkan dana tambahan lebih RM2 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir kilat yang mungkin berlaku sepanjang musim tengkujuh di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sebelum ini, MBI memperuntukkan RM1.5 juta di bawah kos insfrastruktur bagi pencegahan banjir bergantung kepada perancangan.

“Peruntukan ini adalah hasil daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam wang sumbangan saliran dan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“MBI sudah melakukan kerja-kerja pembersihan, penyelenggaraan longkang termasuk kolam tadahan dan rumah pam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat tambahan dua rumah pam di Kawasan Perindustrian Bercham Taman Pengkalan Harapan untuk mempercepatkan proses mengepam air limpahan keluar semula ke sungai disebabkan air pasang dan hujan.

Menurut Rumaizi, pihaknya telah melantik kontraktor untuk kerja-kerja pembersihan kolam tadahan sejak November lalu.

“Ada lebih 70 kolam tadahan termasuk yang di bawah JPS, Pejabat Tanah dan MBI sendiri. Memang kami bersihkan semua dengan bantuan daripada JPS,” katanya.

Sementara itu, Rumaizi berkata, fasa pertama projek penyambungan jalan bagi cadangan Jalan Utama Meru Raya-Klebang telah siap sepenuhnya pada 18 November lalu.

“Projek ini dilaksanakan di dalam dua fasa, fasa pertama merupakan projek pembinaan jambatan yang merentasi Sungai Pari dengan kos RM2.2 juta telah siap sepenuhnya pada 18 November lalu.

“Fasa kedua pula pembinaan jalan yang menyambungkan jalan dari Lebuh Chepor Utama 2 di bahagian Mery Raya dengan Lebuh Klebang Putra di bahagian Klebang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI