fbpx

Kakitangan awam Johor dapat bonus sebulan gaji, minimum RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Onn Hafiz (tengah) membentangkan Belanjawan Johor 2023 pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2023) Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, hari ini. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor mengumumkan pemberian bonus sebanyak sebulan gaji atau sekurang-kurangnya RM1,000 kepada kira-kira 13,400 penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemberian bonus tersebut sebagai menghargai jasa penjawat awam yang telah menggerakkan pentadbiran kerajaan negeri sepanjang tahun ini.

Menurut beliau, bonus berkenaan akan turut diterima penjawat awam agensi kerajaan pusat yang dibayar negeri, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta guru Tadika Islam Johor (TAJ).

“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan penjawat awam dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan. Mereka bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan rakyat mendapat manfaat yang maksimum daripada dasar-dasar kerajaan.

“Sehubungan dengan itu, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, saya dengan ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000,” katanya ketika berucap membentangkan Belanjawan Johor 2023 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, pemberian bonus berkenaan akan dibuat secara dua kali iaitu sekali pada akhir bulan ini manakala kali kedua sebelum sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

Ujarnya, kerajaan negeri prihatin dengan kebajikan penjawat awam dalam memastikan mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, termasuk menyediakan kemudahan pinjaman perumahan yang fleksibel dan tidak membebankan.

“Dalam meneruskan kesinambungan kemudahan pinjaman perumahan kepada penjawat awam Johor, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif menambah baik struktur pengurusan pinjaman perumahan.

“Kita akan melaksanakan penyerahan permohonan baharu di bawah Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri Johor kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) berkuat kuasa Januari 2023.

“Selain meringankan beban kewangan kerajaan negeri, ia juga akan memberi manfaat kepada lebih ramai peminjam dengan had kelayakan pinjaman yang lebih tinggi dan tempoh maksimum pinjaman sehingga 35 tahun,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri akan mengekalkan pinjaman tanpa faedah sebagaimana yang telah dilaksanakan sejak 1 Mac 2014. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI