fbpx

Agong, Permaisuri lancar setem komemeratif, syiling edisi khas sempena 100 tahun UPSI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah (tiga dari kiri) berkenan melancarkan setem komemeratif dan syiling edisi khas sempena Kemuncak Sambutan 100 Tahun UPSI di Dewan Tunku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim hari ini.-FOTO/IHSAN UPSI

TANJUNG MALIM – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam sempena Kemuncak Sambutan 100 Tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Berangkat sama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Al-Sultan Abdullah yang tiba pada pukul 8.50 malam meluangkan masa hampir dua jam di Majlis Makan Malam Seluhur Budi Sekalung Kasih yang dianjurkan sempena meraikan sambutan ke-100 tahun pusat pengajian tinggi itu.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan melancarkan setem komemeratif 100 tahun UPSI dengan kerjasama Pos Malaysia serta syiling edisi khas kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

Setem khas yang dihasilkan dengan tema ‘Terbilang Merentasi Empat Zaman’ bagi tujuan Sambutan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI adalah untuk mengenang sumbangan dan jasa UPSI kepada pendidikan negara.

Setem tersebut telah dikeluarkan untuk umum pada 30 November lalu dengan harga RM33.80 dan boleh didapati di seluruh Pejabat Pos Malaysia.

Sementara itu Dr. Md. Amin dalam ucapannya berkata, sepanjang penubuhan UPSI, ramai tokoh-tokoh kepemimpinan, kebahasaan, kesusasteraan, keusahawanan dan kesukarelawanan dilahirkan sekali gus mengharumkan nama institusi yang dikenali sebagai Ibu Kandung Suluh Budiman.

Menurut beliau, sejak tahun 1997, institusi pengajian tinggi itu telah melahirkan lebih 200,000 graduan yang menabur jasa untuk negara.

Bahkan katanya, kira-kira 27,000 pelajar UPSI yang hadir dari tujuh benua telah menjana ekonomi lebih RM200 juta setahun di Lembah Bernam.

“UPSI kini berkedudukan pada tangga 182 terbaik di Asia dan ke-43 terbaik di Asia Tenggara, malah dalam masa lima tahun lagi, UPSI berhasrat muncul pada tangga 100 terbaik di dunia dalam bidang pendidikan.

“Hasil visibiliti ini, UPSI telah diberikan amanah untuk menubuhkan pusat pengajian di Uzbekistan, London, Rusia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain menjadi peneraju inisiatif pendidikan baharu melalui pengwujudan perpustakaan digital, UPSI Adventure Park, Pusat Data dan Perkembangan Kanak-Kanak Negara dan Institusi Peradaban Melayu,” katanya.

UPSI yang ditubuhkan pada 29 November 1922 pada mulanya dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC) sebelum dinaik taraf 35 tahun kemudian menjadi Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).

Dalam tempoh 30 tahun, MPSI kemudian dimartabatkan menjadi Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sebelum dinaik taraf kepada UPSI pada 1 Mei 1997 dengan memiliki tiga buah kampus utama di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjung Malim, Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City dan Kampus Teluk Intan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI