PETALING JAYA – Produk buatan Malaysia terus mencuri perhatian apabila mendapat sambutan cukup memberangsangkan dalam pasaran Vietnam, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau sendiri melihat potensi besar produk tempatan sepanjang lawatannya ke Hanoi.
“Sepanjang berada di Hanoi, saya lihat produk kita mendapat sambutan yang sangat baik.
“Saya yakin produk Malaysia bukan sahaja mampu bersaing, malah berpotensi untuk berkembang lebih jauh di pasaran Vietnam,” katanya di media sosial.
Menurut beliau, Malaysia komited untuk membawa lebih banyak produk tempatan ke negara tersebut, khususnya produk halal yang diiktiraf di peringkat global.
“Kita serius dan komited untuk memperluaskan pasaran produk Malaysia di sini. Produk halal kita merupakan antara yang terbaik di dunia dan ini adalah kekuatan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha itu bukan sekadar berorientasikan keuntungan, sebaliknya bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang di peringkat antarabangsa.
“Ini bukan sekadar soal perniagaan, tetapi kita mahu membuka ruang dan peluang kepada usahawan tempatan menembusi pasaran luar negara,” katanya.
Beliau optimis kerjasama erat antara Malaysia dan Vietnam mampu memastikan produk tempatan terus mendapat tempat di hati pengguna di negara tersebut.- KOSMO! ONLINE














