fbpx

Anwar PM-10, muktamad!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar dipilih sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mendapat perkenan Agong Khamis lalu.
WARTAWAN EKSEKUTIF, EDDY HAMIDI

Pelantikan Datuk Seri An­war Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Khamis lalu masih menjadi buah mulut rak­yat Malaysia sehingga ke hari ini.

Penantian dan pengorbanan beliau sejak 24 tahun lalu selepas dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1998 dilihat sebagai berbaloi apabila kali ini diberikan mandat untuk mengemudi tampuk kepimpinan negara.

Pelantikan beliau tempoh hari juga dilihat diraikan oleh bukan sahaja rakyat Malaysia, malah pemimpin-pemimpin luar yang turut menghubungi beliau untuk mengucapkan tahniah seperti Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Bagaimanapun, dalam semua ucapan tahniah dan sambutan meriah yang diberikan, muncul pula pihak-pihak yang dilihat seolah-olah masih tidak berpuas hati dan seperti mempersoalkan keabsahan pelantikan beliau sebagai perdana menteri.

Pakar Kenegaraan dan Keta­madunan, Profesor Dr. Zaid Ahmad berkata, perkara itu tidak sepatutnya terjadi, malah kita se­bagai rakyat Malaysia seharusnya berlapang dada dan menerima hakikat bahawa lantikan tersebut adalah yang terbaik buat negara.

“Rakyat Malaysia sedang me­lalui fasa baharu dalam sekolah demokrasi jadi sudah pasti ba­nyak perkara yang buat mereka keliru, namun harus difahami bahawa segala keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan ­Agong adalah berdasarkan mekanisme baginda sendiri.

“Keputusan tersebut adalah berpandukan daripada hemat baginda bahawa individu yang dilantik itu mendapat sokongan majoriti hasil daripada perjum­paan, akuan bersumpah (SD), Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, beberapa pemim­pin parti politik tempatan telah mengeluarkan kenyataan bagi menggesa Anwar membuktikan beliau mempunyai angka yang cukup bagi membentuk kerajaan dengan mengemukakan jumlah SD yang diperoleh daripada Ahli-Ahli Parlimen.

Tindakan tersebut bagaima­napun diselar oleh rakyat Malaysia menerusi platform-platform media sosial yang menyifatkan perbuatan itu sebagai biadap dan mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan.

Jelas Zaid, Seri Paduka mempunyai mekanisme yang sepatutnya untuk digunakan bagi melantik seorang perdana menteri dan baginda telah mengambil pendekatan untuk menerima pandangan blok, bukan individu.

“Mekanisme ini adalah jelas bagi baginda seperti dalam menentukan blok mana yang menyokong dan sebaliknya kerana jika dinilai melalui akuan bersumpah semata-mata, ia boleh ditarik balik dan tidak akan menyelesaikan masalah.

“Apabila baginda mengambil pendirian sebegitu (pandangan blok), ia secara tidak langsung dilihat dapat mendisiplinkan ahli supaya tidak menjadi kecoh de­ngan mengeluarkan kenyataan-kenyataan menyokong sana-sini,” ujar beliau.

Tambah beliau, harus diingat bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Agong adalah mendahului mana-mana parti politik dan baginda sentiasa mendahulukan rakyat dalam setiap keputusan yang dibuat demi kebaikan seluruh negara.

“Kita beruntung kerana memiliki Institusi Diraja yang berauto­riti tinggi dalam menyelesaikan isu ini kerana tanpa campur ta­ngan ‘kuasa lebih tinggi’ ia pas­tinya akan berlarutan sehingga membawa kepada lebih perpecahan.

“Ingin saya seru rakyat Malaysia keseluruhannya agar bergerak ke hadapan kerana keutamaan kita kini adalah memulihkan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat. Jika baginda telah buat keputusan sebegitu maka cukuplah kita berpolitik,” tegas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI