BANDAR SERI BEGAWAN – Pemerintah Brunei mengumumkan rombakan Kabinet secara besar-besaran dengan mewujudkan portfolio utama baharu dan melantik dua puteranya sebagai menteri, lapor portal berita Al-Monitor.
Rombakan tersebut pertama kali dilaksanakan sejak 2022 ketika Brunei sedang berdepan tekanan daripada krisis tenaga global susulan perang Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.
Ia juga berlaku setahun sebelum Sultan Hassanal Bolkiah, raja paling lama memerintah di dunia yang menaiki takhta pada 1967, bersiap sedia untuk meraikan jubli berlian pemerintahannya.
Pemimpin berusia 79 tahun itu membuat penampilan awam yang terhad tahun ini selepas menjalani pembedahan penggantian lutut pada Januari.
Sultan Hassanal akan terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri sambil memegang portfolio Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan.
Putera kedua baginda, Pengiran Muda Abdul Malik dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala putera ketiga, Pengiran Muda Abdul Mateen dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar.
Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah pula kekal sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Baginda turut mengumumkan penubuhan tiga peranan menteri baharu untuk memperkukuh penyelarasan dasar menterasi kerajaan.
“Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan akan disusun semula sebagai Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
“Ini bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan sektor keutamaan, memperkukuh usaha kepelbagaian ekonomi, menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mewujudkan peluang pekerjaan yang bermakna,” katanya.
Rombakan itu juga menyaksikan bilangan pelantikan Kabinet membabitkan wanita dengan jumlah terbanyak setakat ini, termasuk Menteri Pendidikan dan tiga Timbalan Menteri. – AGENSI














