fbpx
Anwar beramah mesra bersama warga kementerian pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian di Kementerian Komunikasi, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

Tindakan segera banteras peniaga haram, salah guna visa – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kementerian dan agensi membanteras segala aktiviti perniagaan haram oleh warga asing di negara ini termasuk penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.

Perdana Menteri berkata, usaha membanteras isu itu tidak boleh ditangani satu pihak sahaja, sebaliknya ia memerlukan pembabitan menyeluruh semua pihak.

“Tindakan segera perlu diambil susulan peningkatan kes warga asing yang dipercayai menjalankan perniagaan menggunakan visa pelawat atau pelajar serta menyalahgunakan permit dan lesen (perniagaan) milik rakyat tempatan.

“Jadi, langkah-langkah yang kita usulkan saya minta dilaksanakan segera termasuk oleh semua kementerian dan agensi berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Katanya, peranan itu boleh dimainkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Anwar berkata, beliau juga mahu MCMC membantu BNM khususnya dalam mengkaji platform perdagangan elektronik (e-commerce) dan jejak aliran wang (money trail) termasuk elemen Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Jika dahulu, kita menghadapi masalah daripada warga  Pakistan, India, Bangladesh, Aceh (Indonesia) dan sebagainya yang membuka kedai-kedai runcit serta bekerja di pasar-pasar borong. 

“Jadi, sekarang ia (kebanjiran warga China) dah meningkat tinggi. Ramai daripada negara China datang visa pelancong tetapi buka kedai kecil, kedai membaiki kenderaan dan salon kecantikan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga tempatan,” katanya.

Katanya, beliau menegaskan bahawa setiap peniaga perlu ada pendaftaran perniagaan yang beralamat tetap dan tidak hanya boleh menggunakan bangsal untuk menjual barangan.

Jelas Anwar lagi, jika kumpulan ini menyalahgunakan permit maka, tindakan tegas boleh diambil termasuk merampas permit perniagaan seperti dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Baru-baru ni ada tindakan penguatkuasaan di Semporna, Sabah yang membawa peniaga dari China dan hotel pula milik China, semuanya daripada dia.

“Jadi, akhirnya ada bantahan yang besar dari penduduk tempatan kerana restoran dari China, tukang ejen pelancong dari China malah, kenderaan juga imiliki oleh warga asing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN