fbpx

Operasi kesan dua kru bot hilang di laut diaktifkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot yang ditemui hanyut di perairan berhampiran sangkar ikan di Batu Maung, di sini pagi tadi.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat bagi menjejaki dua kru bot yang dikhuatiri hilang berhampiran perairan sangkar ikan di Batu Maung di sini pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya telah menerima panggilan telefon daripada nelayan tempatan berhubung penemuan sebuah bot hanyut tanpa kru berhampiran sangkar itu kira-kira pukul 8.20 pagi.

”Bot KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan bot tersebut.

”Sebaik tiba di lokasi bot dengan nombor pendaftaran PPS 7216 telah ditemui berada di salah sebuah sangkar ikan Batu Maung, bot ini dibawa oleh nelayan berhampiran bagi menggelakkan bot terus hanyut ke lokasi lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati bot tersebut dinaiki seorang lelaki, M.Gunalan, 46, dari Bukit Tambun berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai di atas bot.

”Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah dimaklumkan dan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pada pukul 9.00 pagi.

”Hasil maklumat yang diterima dari pihak polis Bukit Tambun, isteri mangsa yang hilang turut membuat laporan polis berhubung kehilangan suami beliau yang keluar ke laut bersama rakannnya, V.Muraley, 53, lebih kurang pukul 5.00 pagi tadi,” katanya.

Tambahnya, laporan dibuat setelah isteri beliau mendapat maklumat daripada komuniti nelayan berkenaan bot yang dinaiki suaminya dijumpai hanyut tanpa ada orang di dalamnya.

”Bot kemudiannya ditunda oleh bot KILAT 26 ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan selanjutnya.

”Maritim Malaysia ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan ketika melakukan apa jua aktiviti semasa berada di laut.

Tambahnya, orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut ditalian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang ditalian: 04-2626146. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI