fbpx
Gambar Hiasan

357 unit kabel curi bernilai RM629,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 357 unit kabel curi bernilai RM629,000 berjaya dirampas polis dalam operasi membanteras kegiatan kecurian kabel di ibu negara bagi tempoh tahun 2025 hingga Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 205 laporan kes diterima dengan 171 tangkapan dibuat.

Katamya, ia membabitkan 103 kes kecurian kabel telekomunikasi (telco), 28 kes kabel rel dan 40 kes lain-lain kabel.

“Sebanyak 193 kertas siasatan dibuka hasil tangkapan tersebut, manakala 60 kes berjaya didakwa di mahkamah.

“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, polis menerima 71 laporan kes dengan 85 tangkapan dilakukan melibatkan 50 kes kabel telco, 17 kes kabel rail dan 18 kes lain-lain kabel.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 67 kertas siasatan dibuka dan 12 kes berjaya dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kecurian kabel bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, malah menjejaskan keselamatan awam, aktiviti ekonomi dan kelancaran pelbagai perkhidmatan penting.

“Jenayah ini boleh mengakibatkan gangguan komunikasi, operasi perniagaan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan selain meningkatkan kos pembaikan, penggantian serta penyelenggaraan infrastruktur.

“Tindakan memotong atau mencabut kabel secara haram turut berisiko menyebabkan kemalangan termasuk renjatan elektrik dan kebakaran. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan ini demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Kata Fadil, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN