fbpx
ANTARA premis perniagaan yang diperiksa melibatkan restoran, kiosk makanan, pusat jualan dan premis komersial di Seri Kembangan semalam. - IHSAN JIM

Premis jadi tumpuan warga asing, 30 dicekup imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 30 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) menerusi Ops Little Middle East yang dijalankan di One South Plaza di sini semalam kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Operasi bersepadu dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu dilaksanakan susulan aduan awam serta hasil risikan selama seminggu di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing khususnya dari rantau Timur Tengah.

JIM dalam kenyataan berkata, operasi yang bermula pada pukul 12.30 tengah hari itu melibatkan 53 pegawai pelbagai pangkat daripada Cawangan Tindakan Khas dan Bahagian Penguatkuasaan JIM serta lima pegawai KPDN.

“Sebanyak 15 premis perniagaan telah diperiksa melibatkan restoran, kiosk makanan, pusat jualan dan premis komersial lain yang disyaki menggaji serta melindungi warga asing tanpa kebenaran yang sah.

“Hasil pemeriksaan ke atas 64 individu mendapati seramai 30 warga asing telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada warga Yaman, Somalia, Afghanistan, Ghana, Pakistan dan Bangladesh berusia antara 26 hingga 35 tahun.

“Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas yang diberikan,” ujarnya.

Tambahnya, satu Borang 29 saman turut dikeluarkan kepada seorang warga tempatan bagi membantu siasatan lanjut.

“Kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

JIM berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan warga asing yang tinggal secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan kerajaan.

Sementara itu, KPDN mengenakan kompaun berjumlah RM300 terhadap seorang pemilik premis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 atas kesalahan yang dikesan ketika pemeriksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN