JERANTUT – Musang king yang gugur serentak di kebun-kebun sekitar daerah ini menyebabkan harga buah kayangan itu menjunam dan dijual serendah RM8 sekilogram.
Pekebun durian di Sungai Kiol, Lai Yap Wai berkata, musim durian kali ini menyaksikan pengeluaran hasil yang luar biasa dan keadaan itu memaksa pekebun dan penjual menurunkan harga bagi memastikan buah yang gugur setiap hari dapat dijual dengan segera.
“Kalau ikut musim sebelum ini, musang king boleh dijual sehingga RM25 sekilogram atau lebih tetapi kali ini bekalan terlalu banyak dan persaingan dalam kalangan pekebun juga tinggi.
“Sejak awal minggu lalu, saya menjual musang king gred C dan D pada harga RM8 sekilogram, manakala gred A dijual RM15 sekilogram,” katanya ketika ditemui di Sungai Kiol di sini, semalam.
Yap Wai berkata, setiap hari hampir enam tan durian pelbagai jenis termasuk musang king, teka, udang merah dan IOI dikutip di kebunnya untuk dipasarkan kepada pelanggan.
“Buah yang gugur perlu dijual dengan cepat bagi mengelakkan kualitinya terjejas akibat kulit pecah atau isi menjadi lembik jika disimpan terlalu lama. Jika lambat dijual, kualitinya akan menurun dan ini merugikan pekebun,” ujarnya.
Katanya, bagi menarik lebih ramai pelanggan, Yap Wai turut memanfaatkan platform media sosial termasuk Facebook selain bantuan rakan-rakan untuk mempromosikan jualan duriannya.
“Kebanyakan pelanggan memilih musang king gred C dan D kerana tekstur, aroma dan rasa isinya hampir sama dengan gred A, namun dijual pada harga jauh lebih rendah.
“Ramai pelanggan berpendapat perbezaan kualiti tidak begitu ketara, sebab itu gred C dan D menjadi pilihan kerana lebih berbaloi,”katanya.
Tambahnya, bagi menghabiskan stok yang banyak, beliau turut menawarkan jualan secara pukal pada harga RM100 bagi setiap 20 kilogram durian musang king.
“Sekurang-kurangnya jualan ini dapat membantu saya menampung kos operasi kebun dan membayar upah pekerja walaupun keuntungan tidak setinggi musim lalu.
















