BAGAIKAN terlepas daripada mulut harimau, masuk ke mulut buaya.
Itu peribahasa yang paling tepat untuk menggambarkan situasi Aisyah (bukan nama sebenar), seorang wanita berstatus janda tanpa anak di sisi.
Aisyah yang pernah mendirikan rumah tangga selama sedekad sebelum ini mengakhiri bahtera perkahwinannya selepas langsung tidak mengecapi kebahagiaan hidup berpasangan.
Bagi perkahwinan pertamanya bersama seorang lelaki muda, bahtera pernikahan itu hanya bertahan selama dua tahun disebabkan keterlanjuran pada masa silam, selain tiada kebahagiaan tercipta.
Katanya, bekas suami pertamanya itu seorang ‘kaki perempuan’ dan sering mengabaikan tanggungjawab sehingga membuatkan Aisyah berasa seperti boneka bernyawa di dalam rumah.
Ujar Aisyah, ada kalanya dia terpaksa menanggung segala komitmen dan bayaran hutang termasuk bil utiliti.
Dia memaklumkan, suaminya yang bekerja sendiri itu langsung tidak mempedulikan tanggungjawabnya.
“Selepas gagal perkahwinan kali pertama sekitar 2008, setahun saya hidup menjanda. Kemudian, pintu hati saya kembali terbuka untuk berkongsi hidup bersama seorang lelaki lain selepas beberapa bulan berkawan.
“Biasalah, pada awalnya manis-manis sahaja, tapi lama-kelamaan perangai dan ‘warna’ sebenar suami mula kelihatan. Saya ini ibarat terlepas daripada mulut harimau, masuk ke mulut buaya.
“Saya tak tahu apa salah yang saya lakukan. Sejak zaman percintaan sampailah bernikah dan menjadi isteri sebanyak dua kali, ada sahaja nasib malang menyelubungi saya.
“Keputusan bernikah dengan suami kedua yang dikenali sebagai Ahmad (bukan nama sebenar) ini saya buat sendiri walaupun tidak mendapat restu daripada ahli keluarga,” katanya.
Meneruskan cerita, Aisyah yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan di selatan tanah air berkata, sikap suami keduanya yang juga suka lepas tangan membuatkannya semakin tertekan.
Tidak sekadar itu lebih dahsyat, katanya, bekas suaminya juga acap kali membawa pulang wanita berbeza identiti ke kamar, selain menjadikan rumah sewa tersebut sebagai ‘sarang’ melampiaskan nafsu serakah.
“Saya sedar diri ini wanita yang tidak boleh memberikan zuriat. Pelbagai inisiatif dan cara saya telah cuba bagi membolehkan diri ini hamil.
“Tetapi ini bukan hukuman untuk saya. Ini juga bukan alasan untuk suami sewenang-wenangnya membawa wanita lain masuk ke dalam rumah di depan mata saya.
“Betapa hancurnya hati saya diperlakukan sedemikian rupa,” katanya.
Tambah wanita berusia 40-an dan satu-satunya anak tunggal perempuan dalam keluarga itu, dia berasa kesal dengan perbuatan terkutuk suaminya itu. Namun, dek kerana sayang yang masih berbekas di dalam hati, Aisyah turutkan saja.
“Bertahun berlalu begitu saja.Kemudian, suami buat hal lain pula. Dia kerap kali meminta wang daripada saya selepas perniagaannya lingkup sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Bukan setakat itu, saya juga syak dia mula terlibat dengan najis dadah, selain kaki minum dan sering mabuk apabila pulang ke rumah.
“Pada mulanya, saya turutkan saja kerana bimbang dia akan mencederakan saya jika tidak memberi wang kepadanya.
“Namun lama-kelamaan saya sudah tidak tahan. Gaji saya pun cukup-cukup makan saja,” ujarnya.
Selepas menceritakan hal tersebut kepada salah seorang rakan baik yang paling dipercayai, Aisyah nekad untuk bercerai dan membawa segala bukti ke mahkamah syariah.
Walaupun pada awalnya ditentang dan tidak diizinkan suaminya, namun hati dan perasaan Aisyah sudah cukup terluka.
Setelah hampir empat bulan naik turun mahkamah syariah, akhirnya Aisyah bebas daripada cengkaman dan neraka dunia yang selama ini membakar dirinya dalam diam.
Bagi Aisyah, apa yang berlaku biarlah berlalu.
Kini, dia sudah kembali ke pangkuan kedua-dua ibu bapanya di kampung bagi menjaga mereka.
Dia juga kini mendapat kerja baharu di kampung.
















