fbpx

PRU15: Isu feri jadi taruhan YB Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FERI menjadi pengangkutan utama bagi pelancong untuk berkunjung ke pulau peranginan Langkawi.
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

SEBUT sahaja Pulau Langkawi, setiap individu ada pandangan tersendiri mengenai perkhidmatan feri dan harga makanan di pulau peranginan terkenal itu.

Beberapa siri kejadian feri penumpang terkandas di perairan Kuala Kedah dan Kuala Perlis sedikit sebanyak merencatkan pemulihan industri pelancongan.

Bayangkan, dua kejadian berlaku dalam masa selang lima hari pada 23 dan 28 Oktober lalu gara-gara feri tersangkut pada beting pasir dan kabel boya penambat kapal pengerukan di muara Kuala Kedah.

Itu belum kira kes feri tidak boleh belayar kerana air surut, enjin rosak selain propeller atau kipas feri tersangkut jala nelayan dalam kejadian sebelumnya.

Selain itu, trip feri yang berkurangan hampir separuh berbanding purata 10 perjalanan pada 2019 juga membuatkan ramai pelancong terpaksa berfikir panjang untuk melancong ke Pulau Langkawi.

Selain isu feri, ramai juga yang mengeluh kerana harga makanan di pulau itu didakwa ‘cekik darah’.

Kejadian seorang pengguna dikatakan terpaksa membayar RM1,196 untuk menikmati hidangan seekor siakap ‘kayangan’ pada tahun lalu turut memberi gambaran kurang baik kepada Pulau Langkawi.

Realitinya, masih banyak restoran dan gerai makan di pulau itu menawarkan hidangan lazat pada harga murah. Apa yang penting pengguna perlu lebih bijak dalam membuat pilihan.

Di sebalik itu, ramai juga yang masih mahu melancong ke Pulau Langkawi yang terkenal dengan alam semula jadi dan pantai yang bersih dan cantik selain menjadi syurga membeli-belah terutama coklat import.

“Saya tetap sukakan Pulau Langkawi kerana ia merupakan pulau pelancongan yang sangat cantik dan meriah. Semua ada di situ dan sesuai bawa keluarga bercuti di sana,” kata seorang pelancong, Nur Farhana Ali, 38, dari Petaling Jaya, Selangor.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, isu feri merupakan perkara utama yang perlu diselesaikan kerajaan selepas ini.

“Saya berharap kerajaan yang akan diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini dapat memberi perhatian kepada isu feri yang seperti tiada kesudahan.

“Isu feri terkandas dan kekurangan trip daripada 12 (sebelum pandemik) kepada tiga sangat menjejaskan industri pelancongan di sini,” katanya.

Menurutnya, keselamatan feri dan penambahan trip feri perlu dilakukan segera sekiranya mahu menyelamatkan Langkawi daripada terus suram.

“Jika ada masalah alur pelayaran cetek buka peluang kepada syarikat baharu untuk me­ngendalikan feri-feri lebih kecil ke Langkawi dari Kuala Perlis atau Kuala Kedah.

“Isu feri ini perlu diberi keutamaan oleh kerajaan, jika tidak segala apa usaha dibuat untuk merancakkan pelancongan di Langkawi hanya sia-sia,” katanya.

Tambahnya, bagi isu makanan mahal pula, satu badan khas perlu diwujudkan untuk memantau harga makanan bagi mengelakkan harga yang mengelirukan atau ‘cekik darah’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI