LANGKAWI – Kira-kira 100,000 pelancong dijangka menggunakan perkhidmatan feri penumpang ke Pulau Langkawi sempena cuti persekolahan dan Hari Raya Aidiladha ini.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, jumlah penumpang itu melibatkan kedua-dua laluan iaitu dari Terminal Feri Kuala Perlis dan Kuala Kedah.
“Setakat ini, sebanyak 99,128 tiket telah terjual melalui penjualan secara dalam talian, tiket di kaunter serta tiket tempahan awal,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, sebanyak 120 trip normal dirancang dan 53 trip tambahan disediakan bermula 21 Mei lalu hingga 7 Jun depan.
“Pengoperasian feri penumpang akan bermula pada pukul 7 pagi hingga 7 malam dan akan dilanjutkan sehingga pukul 10 malam tertakluk kepada permintaan serta jumlah penjualan tiket dalam talian yang tinggi,” ujarnya.
Tambahnya, meskipun berlaku krisis geopolitik global dan peningkatan kos bahan bakar, ia tidak menjejaskan minat pengunjung untuk ke pulau itu dengan memilih pakej percutian menarik.
“Bagi mengelakkan tiket kehabisan, pengunjung dinasihatkan supaya membeli tiket secara dalam talian menerusi aplikasi Cuti-Cuti Langkawi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














