fbpx

Russia berkas dua suspek selepas kebakaran bar ragut 13 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar edaran Jawatankuasa Penyiasatan Rusia memaparkan kenderaan bomba berada bersebelahan dengan lokasi kebakaran di sebuah kafe di Kostroma kelmarin. - AFP

MOSCOW – Polis Russia menahan dua suspek termasuk seorang lelaki disyaki mencetuskan kebakaran sebuah bar yang membunuh sekurang-kurangnya 13 orang dalam kejadian di bandar Kostroma kelmarin.

Perkhidmatan Kecemasan Russia berkata, seramai 13 orang disahkan terbunuh dan menafikan angka korban terdahulu iaitu 15 orang.

Anggota-anggota bomba bertungkus lumus awal pagi kelmarin untuk memadamkan api di bar Poligon yang popular di Kostroma. Bandar itu terletak kira-kira 300 kilometer ke timur laut Moscow.

Menurut agensi berita Russia, kebakaran bermula selepas seorang lelaki yang mabuk menembak suar ke lantai tarian.

“Pegawai polis mengenal pasti dan menahan suspek kerana melakukan perbuatan menyalahi undang-undang di sebuah pusat hiburan di bandar Kostroma, yang mengakibatkan kebakaran dan kematian orang awam,” kata polis.

Jawatankuasa Siasatan Russia berkata, suspek didapati berusia 23 tahun.

Seorang wanita yang merupakan pengarah bar itu turut ditahan dan berdepan tuduhan jenayah kerana gagal mematuhi garis panduan keselamatan.

Agensi berita RIA Novosti melaporkan, bar itu milik Ikhtiyar Mirzoyev yang merupakan timbalan tempatan parti pemerintah, Perikatan Russia.

Pihak berkuasa menyiarkan imej dalam bangunan yang memaparkan keadaan bar itu dengan bumbung runtuh dan dindingnya hangus.

Kebakaran besar itu bermula kira-kira pukul 2 pagi (waktu tempatan) kelmarin dan berjaya dipadamkan sekitar pukul 7.30 pagi.

Perkhidmatan kecemasan berkata, kebakaran bar Poligon menyambar kawasan seluas 3,500 meter persegi. Kira-kira 250 orang telah dipindahkan daripada bangunan itu selepas ia terbakar. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI