MANUSIA tidak akan diuji Tuhan melebihi tahap kemampuannya. Frasa tersebut acap kali diguna pakai untuk menggambarkan ketabahan seseorang saat berhadapan musibah.
Bagi aktor serba boleh, Farid Kamil, dia juga mempunyai kefahaman serupa saat teruji dengan pelbagai kesukaran.
Ibarat bertimpa-timpa dibadai ujian, susuk berusia 41 tahun itu tidak lemah membiarkan dirinya terus tersungkur.
Bagi Farid sendiri, dugaan dan ujian yang menerpa itulah yang telah menguatkan semangatnya mendepani kehidupan, lebih-lebih lagi memikirkan isteri dan anak-anak yang menjadi tulang belakangnya selama ini.
Peluang bertentang mata dengan aktor tinggi lampai itu dalam satu sesi fotografi di Ascott Star KLCC baru-baru ini membongkar perasaan yang terbuku dalam hatinya.

Pengalaman menjalani hukuman penjara sekitar 2019 atas tuduhan penyalahgunaan dadah cukup berbekas buat Farid.
Bagi segelintir masyarakat, status bekas banduan menjadi gelaran ‘jijik’ yang selamanya akan melekat pada diri seseorang.
Uji keimanan
Pandangan bapa kepada dua orang cahaya mata itu pula berbeza. Farid tidak pernah malu biarpun pernah bergelar seorang banduan.
“Saya tidak pernah berasa malu. Ketika saya berada di dalam ‘universiti’ (penjara), bila tutup mata, saya rasa diri seperti berada di Mekah.
“Saya rasa segala-galanya ‘best’. Makanan, layanan. Orang suka dengar cerita saya,” kata Farid.
Menyifatkan penjara sebagai ‘universiti’ yang menghidangkan pengajaran dan pengalaman bermakna, Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari menganggap hukuman yang dilalui sebagai satu tempoh menguji tahap keimanannya.
“Tidak semua orang akan lalui pengalaman seperti saya. Saya percaya pada ketika itu tahap keimanan saya sedang diuji.
“Keimanan seseorang itu akan diuji dengan satu perkara yang boleh mereka tanggung. Saya bukan sahaja merasai, bahkan nampak perkara itu berlaku di depan mata saya.
“Itu menunjukkan bahawa ujian yang diberikan sama ada saya mampu atau tidak untuk tanggung,” katanya.

Ketika disoal tentang penerimaan masyarakat terhadap dirinya selepas keluar penjara, suami kepada pelakon Diana Danielle itu mengakui, peminat masih menerimanya.
Dia bahkan berasa lebih dekat dengan masyarakat selepas gelaran Datuk yang dikurniakan kepadanya ditarik semula.
“Selepas gelaran Datuk yang dikurniakan kepada saya pada 2017 ditarik semula tahun lalu, saya akui berasa sedikit sedih.
“Tapi saya cakap dengan diri sendiri bahawa saya perlu berani untuk keluar dan berjumpa dengan masyarakat.
“Bila saya keluar, orang ramai mula menegur dan memanggil nama saya dengan kuat, Farid Kamil! Tak sama berbanding ketika saya ada gelaran Datuk.
“Peminat mula rasa ada kedekatan itu semula,” jelasnya.
Arahan sulung
Perbualan yang sedikit beremosi tiba-tiba bertukar teruja apabila Farid berkongsi kegembiraan selepas cita-citanya bergelar pengarah dan penerbit filem akhirnya tercapai menerusi buah tangan sulungnya, Remp-It 2.
Selepas 16 tahun Remp-It pertama ditayangkan pada 2006, Remp-It 2 yang bakal ditayangkan pada 24 November nanti turut menampilkan lakonan anak sulungnya, Muhammad Kamil.
“Selepas 16 tahun Remp-It pertama ditayangkan pada 2006, kini bakal menemui penonton dengan mengetengahkan aksi dan jalan cerita yang lebih matang.
“Kali ini Remp-It 2 akan menampilkan pelakon baharu, Ahirine Ahirudin yang juga mahir dengan dunia permotoran.

“Bagi saya Remp-It kali ini adalah eksplorasi apa yang dah saya tinggalkan 20 tahun lalu.
“Menariknya, anak sulung saya, Muhammad Kamil turut terlibat dalam filem ini,” katanya.
Farid bahkan turut menzahirkan hasrat untuk membina sebuah litar lumba khas untuk golongan ‘mat rempit’ jika filem arahannya itu mencapai kutipan pecah panggung.
Kata Farid, tujuannya adalah untuk mengekang keghairahan pelumba haram daripada terus terbabit dengan aktiviti bahaya tersebut di jalan raya.
Lebar sayap
Dengan hati berbunga, Farid juga sempat berkongsi impiannya untuk melebarkan sayap di negara jiran, Indonesia bakal menjadi kenyataan selepas ditawarkan memegang watak utama dalam sebuah filem yang masih dirahsiakan judulnya.
Bakal terbang ke Jakarta bulan depan bagi memulakan penggambaran, apa yang lebih mengujakan Farid, dia juga bergandingan dengan pelakon legenda, Christine Hakim serta bintang filem terkenal, Acha Septriasa dalam naskhah tersebut.

“Alhamdulillah, doa saya untuk kembangkan bakat lakonan di luar negara termakbul. Memang tidak disangka-sangka dapat tawaran teraju utama pula. Syukur sangat.
“Lebih-lebih lagi bila tahu gandingan saya adalah dua nama besar dalam industri perfileman di sana, jadi memang tidak sabar untuk memulakan penggambaran.
“Saya akan ke Jakarta bulan depan untuk menjalani penggambaran selama 55 hari,” tutupnya.















