TANGGAL 22 Julai 2022 lalu menjadi detik bersejarah dan pasti tidak akan dilupakan pasangan penyanyi popular Wany Hasrita dan suami.
Wany halal bergelar suri hati kepada Mohd. Al-Adib Fahmi Harun sekitar pukul 9.11 malam.
Sebelumnya, langsung tiada desas-desus mengatakan Wany sedang hangat dilamun cinta bersama jejaka pilihannya itu.
Boleh dikatakan, pemilik nama Nurshazwany Hasrita Hasbullah begitu cermat menjaga ‘rahsia’ sehinggalah hari bahagia itu tiba dan diketahui umum.
Tiada maksud untuk berahsia apatah lagi menyorok daripada pengetahuan teman media dan peminat, Wany menegaskan tidak mahu terlalu awal mendedahkan perkara tersebut sehingga semuanya benar-benar menjadi kenyataan.
Pejam celik, sudah hampir tiga purnama pelantun lagu Terlalu Memuja itu melayari bahtera perkahwinan dan bergelar isteri kepada jejaka kelahiran Bumi Kenyalang itu.

Belenggu rindu
Persis seperti judul sebuah lagu hit miliknya, Menahan Rindu, itulah situasi yang terpaksa dilalui Wany saat berjauhan dengan suami yang bertugas di Sarawak.
Dipisahkan Laut China Selatan, Wany bagaimanapun akur dengan takdir tersebut, sekali gus meletakkan harapan untuk tinggal bersama kelak.
“Kalau cakap bab rindu, tipulah kalau tak rindu kan. Kita pula baru saja bernikah, masih manis lagi orang kata.
“Tapi saya dan suami kena terimalah perkara ini dan terpaksa berjauhan. Benda ini memang kami sudah bincang dan temui kata sepakat sebelum tiba hari pernikahan lagi.
“Cukuplah kami berdua saling memahami dan jelas dengan komitmen kerja masing-masing.
“Dia faham saya, begitu juga dengan saya,” bicaranya kepada Hib Glam.
Berpeluang menemui sosok tubuh ayu tinggi lampai ini dalam acara sidang media Konsert Canggung bersama idolanya, Datuk Jamal Abdillah baru-baru ini, Wany bagaimanapun belum ‘terdesak’ untuk membuat keputusan terburu-terburu.
Ujar Wany, walaupun dibelenggu rindu dek kerana berjauhan dengan syurganya, tetapi perkara tersebut langsung tidak pernah membuatnya terfikir untuk meninggalkan kerjaya seni secara melulu.
Bagi Wany, kerjaya seni yang menjadi periuk nasi buatnya sejak hampir sedekad lalu tidak perlu ‘dikacau’ dan perkara tersebut juga difahami suaminya.
“Niat dan perancangan nak pindah dan menetap bersama keluarga di Sarawak tu sejujurnya memanglah ada. Tapi tiadalah sampai memaksa saya untuk buat keputusan drastik.
“Saya ada kerjaya dan banyak lagi komitmen. Jadi kalau nak tinggalkan kerjaya disebabkan nak pindah di sana mengikut suami dalam masa terdekat, itu tak akan mungkin berlaku.
“Jadi, kalau dah tiba masanya nanti, kalau semua dah selesai di sini, barulah saya pindah ke sana. Itupun saya tak boleh jangka dan janji bila masanya,” katanya tersenyum.

Pertama kali, teruja
Simpan rapi soal pindah-randah yang entah bila akan berlaku, Wany menerusi penglibatannya dalam Konsert Canggung anjuran Zeel Production terharu kerana diberi peluang sehebat itu.
Kata Wany, konsert yang bakal berlangsung di Kangar, Perlis negeri kelahiran penerbit popular Fadzil Teh atau lebih dikenali sebagai Haji Zeel itu bakal membawanya ke utara tanah air itu buat kali pertama.
“Jujur banyak-banyak negeri di Malaysia, Perlis yang saya belum pernah jejak dan teringin nak ke sana.
“Seakan-akan memahami, Tuhan beri saya rezeki untuk ke sana apabila Haji Zeel sendiri beri saya tawaran untuk berkongsi pentas bersama Datuk Jamal dan beberapa barisan penyanyi hebat lain.
“Jadi saya memang tak sabar untuk menantikan konsert tersebut, sebab lain daripada yang lain. Bayangkan dua elemen iaitu pop dan irama Malaysia digabungkan serentak pada malam tersebut,” tuturnya.
Buat masa ini, Wany bagaimanapun masih boleh bertenang menunggu tarikh konsert yang ditangguhkan sementara memberi laluan terhadap Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang bakal berlangsung dalam tempoh dua bulam ini.

Gementar
Diaju mengenai projek yang bakal hadir, wanita berusia 30 tahun ini memberitahu, dia sebenarnya baru habis merakamkan semula lagu Bakawali bersama Jamal Abdillah.
Akui Wany, perasaan gementar dan takutnya itu jelas terpancar ketika diminta untuk merakamkan semula lagu tersebut yang semua orang tahu keunikan suara penyanyi asalnya.
Sebaik mengetahui perancangan tersebut, tanpa berlengah dia terus bertanya dengan salah seorang penyanyi asal lagu berkenaan iaitu Siti Nordiana bagi mendapatkan pandangan.
“Saya gementar juga nak merakamkan semula lagu Bakawali kerana kedua-dua penyanyi asalnya iaitu Nana (Siti Nordiana) dan Syura masih lagi aktif sebagai penyanyi.
“Tapi, atas perancangan syarikat rakaman dan harus akur.
“Mujur juga ketika berbincang dengan Nana, dia sangat memahami kerana itu bukan lagu persendirian, tapi milik syarikat rakaman.
“Membuatkan saya lagi terkejut dan bersemangat apabila rakan duet, Jamal sendiri bersetuju untuk terbabit dalam projek ini,” katanya yang kini sedang menyiapkan muzik video lagu berkenaan.















