fbpx

Dua parah, van pekerja terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan van pekerja dinaiki mereka terbabas melanggar tiang papan iklan di Jalan Batu Tiga Lama, Klang

KLANG – Perjalanan 11 pekerja kilang ke tempat kerja bertukar detik cemas apabila van pekerja dinaiki terbabas melanggar tiang papan iklan di tepi Jalan Batu 3 Lama di sini, pagi tadi.

Kemalangan itu mengakibatkan dua daripadanya parah akibat patah kaki kiri manakala sembilan lagi hanya cedera ringan.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, berdasarkan maklumat awal kesemua penumpang van tersebut adalah warga tempatan berusia 30 hingga 40an dalam perjalanan ke sebuah kilang di Shah Alam.

Katanya, enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 6.17 pagi.

“Van tersebut terbabas melanggar tiang papan iklan dengan salah seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian penumpang hadapan dan berjaya dikeluarkan pihak bomba.

“Terdapat dua mangsa cedera parah akibat patah kaki kiri dan sembilan lagi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang menggunakan dua ambulan Kementerian Kesihatan (KKM). -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI