fbpx
ZAM terkejut selepas mendapati kelibat sahabatnya Ali sudah tiada di depan sebuah pondok usang. – Ilustrasi Shah Hasan

Diganggu jelmaan arwah rakan karib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali mengingati peristiwa diganggu lembaga yang menyerupai rakan karibnya, Zam (bukan nama sebenar) akan mengucap panjang kerana ia sukar dilupakannya.

Biarpun sudah hampir lima tahun berlaku, itu adalah antara perkara yang paling menyeramkan yang pernah berlaku dalam hidupnya.

Cerita Zam, pada hari kejadian, ketika sedang menonton televisyen di rumah, tiba-tiba dia menerima panggilan daripada rakannya, Ali (bukan nama sebenar).

“Ali menelefon saya dan meminta menghantarnya pulang ke kampung kerana adik perempuannya jatuh sakit.

“Suaranya kedengaran seperti dalam kecemasan dan saya tanpa berfikir panjang terus bersetuju dan memandu kereta ke rumah sewa Ali untuk mengambilnya,” ujar Zam.

Sebaik sahaja Ali memasuki kenderaan, wajahnya kelihatan bersih dan dia melemparkan senyuman terhadap rakannya itu.

Namun, sepanjang perjalanan, Zam agak pelik melihat kelakuan Ali yang tidak langsung berkata apa-apa, selain hanya tersenyum sepanjang perjalanan.

“Saya ada bertanyakan dia beberapa soalan seperti keadaan adiknya dan berapa lama dia akan pulang ke kampung, namun Ali hanya berdiam diri dan tersenyum kepada saya.

“Namun, saya hanya ikut berdiam diri dan menganggap Ali tidak mahu diganggu,” ujar Zam.

Memandangkan Zam menggunakan jalan kampung, keadaan sekeliling agak gelap, membuatkan dia terpaksa lebih fokus terhadap pemanduan.

Namun, selepas melewati sebuah pondok usang, Ali tiba-tiba meminta Zam untuk memberhentikan kenderaan kerana dia mahu turun di situ.

Bingung dengan permintaan rakannya itu, Zam bagaimanapun tidak memberhentikan kenderaannya dan terus memandu seperti biasa.

“Saya tidak berhenti kerana kampung Ali masih jauh dan kami belum pun masuk ke kawasan lebuh raya.

“Namun, Ali tetap juga menyuruh saya menurunkan dia di pondok usang yang kami lewati pada malam itu dan saya akhirnya akur,” kata Zam.

Suasana sekitar yang cukup gelap menyebabkan Zam tiba-tiba berasa takut.

Ali kemudian turun dan duduk di hadapan pondok tersebut sambil mulutnya terus tersenyum.

Matanya pula melilau melihat keadaan sekitar, seolah-olah sedang mencari seseorang.

Zam yang mula terasa seram sejuk mulai menghubungi seorang lagi rakannya iaitu Aziz (bukan nama sebenar).

“Saya menceritakan tentang situasi tersebut dan alangkah terkejutnya apabila dimaklumkan oleh Aziz, dia dalam perjalanan ke rumah Ali selepas mendapat tahu lelaki itu meninggal dunia akibat kemalangan.

“Saya tidak mempercayainya, namun sebaik sahaja menoleh ke arah pondok tempat saya menurunkan Ali, saya amat terkejut apabila mendapati bahawa pondok tersebut dan Ali telah tiada,” katanya.

Akibat rasa takut dan terkejut yang teramat, Zam memecut kenderaannya untuk pulang ke rumah.

Ternyata, Ali benar-benar meninggal dunia dan sehingga kini, Zam masih tidak tahu siapa individu yang ditumpangkannya itu.

“Saya benar-benar tidak sangka perkara sedemikian berlaku kepada saya.

“Namun, menurut datuk saya, mungkin saya diganggu oleh jelmaan arwah Ali kerana sebelum dia meninggal, Ali benar-benar mahu bertemu dengan saya, namun tidak kesampaian,” ujar Zam.

Pemergian Ali menyebabkan dia benar-benar terasa dan tidak pernah lupa untuk mendoakan kesejahteraan roh sahabatnya itu sehingga kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN