HIDUP dalam persekitaran moden yang sibuk dengan aktiviti harian membuatkan pemuda itu cenderung melihat sesuatu dari sudut logik serta penjelasan saintifik.
Jadi, dia tidak mudah percaya dengan kisah rasukan, susuk serta perkara ghaib kerana yakin ia sekadar cerita turun-temurun atau pengalaman yang dibesar-besarkan.
Namun pekerja swasta berusia lingkungan 30-an yang mahu dikenali sebagai Azim itu tidak pernah menyangka bahawa hari bekerjanya bertukar menjadi pengalaman paling menakutkan.
Katanya, perkara misteri yang berlaku di pejabat pada petang itu masih menghantui ingatannya sehingga kini.
Suasana yang asalnya tenang tiba-tiba menjadi kecoh apabila salah seorang rakan sekerjanya, dikenali sebagai Lina mengalami kejadian aneh.
“Lina pada awalnya kelihatan seperti biasa. Dia datang kerja sambil menyapa rakan-rakan dan menyiapkan tugasan tanpa sebarang perubahan ketara.
“Namun menjelang waktu petang, keadaan mula berubah apabila Lina dilihat termenung lama di meja kerjanya.
“Wajahnya pucat, matanya merah dan dia beberapa kali mengeluh seperti menahan kesakitan,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Cerita Azim, pada mulanya, mereka menyangka Lina hanya tidak sihat, namun beberapa minit kemudian, keadaan menjadi di luar kawalan.
Tanpa amaran, Lina menjerit kuat sehingga mengejutkan seluruh pejabat. Dia bangun secara tiba-tiba sambil menolak kerusi ke belakang dengan kuat.
Tangannya menggigil dan suaranya berubah menjadi garau, jauh berbeza daripada suara asalnya.
Dia memandang sekeliling dengan renungan tajam sambil ketawa perlahan, membuatkan semua yang berada di ruang pejabat ketakutan.
Kongsi Azim, ada yang terus berlari keluar, manakala sebahagian lagi hanya mampu berdiri sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran.
“Saya ketika itu berada tidak jauh dari meja Lina dan seluruh tubuh saya menggigil.
“Saya lihat Lina mengangkat sebuah fail berat dan melemparkannya ke dinding tanpa masalah, seolah-olah dia memiliki tenaga luar biasa.
“Beberapa pekerja lelaki cuba mendekatinya untuk membantu, namun Lina menjerit dengan suara garau sambil menyebut nama seseorang yang tidak dikenali,” ujarnya.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila dia mula meracau tentang pantang yang telah dilanggar dan sesuatu yang ‘mengikut’ dirinya sejak beberapa hari lalu.
Selepas keadaan sedikit reda, salah seorang rakan rapat Lina membuka cerita sebenar.
Menurut wanita itu, Lina dipercayai memakai susuk sejak beberapa tahun lalu kerana mahu mengekalkan kecantikan wajah.
Dia dikatakan mendapatkan susuk daripada seorang pengamal perubatan tradisional, namun diberikan syarat atau pantang tertentu yang perlu dipatuhi.
Antaranya, dia tidak boleh melangkah ke kawasan tertentu dalam keadaan tertentu, selain tidak boleh meninggalkan beberapa amalan yang telah ditetapkan.
Namun sejak kebelakangan ini, Lina dipercayai mengabaikan pantang tersebut.
Sejurus kejadian itu, beberapa pekerja telah menghubungi seorang ustaz
“Ustaz tersebut tiba hampir sejam kemudian, dan terus membaca ayat-ayat ruqyah di ruang pejabat. Ketika bacaan dimulakan, Lina menjerit kuat sambil meronta.
“Suaranya berubah-ubah antara suara sendiri dan suara kasar yang menakutkan. Saya dengar beberapa kali Lina menyebut: ‘Dia marah kerana janji sudah dilanggar’,” ujar Azim.
Suasana pejabat ketika itu hanya kedengaran bacaan ayat suci al-Quran dan tangisan beberapa staf wanita yang ketakutan.
Selepas hampir setengah jam, Lina rebah dan tidak sedarkan diri. Apabila sedar, dia menangis teresak-esak sambil mengakui telah lama menyimpan rahsia mengenai susuk yang dipakai.
Menurut ustaz tersebut, gangguan itu dipercayai berlaku kerana amalan berkenaan melibatkan makhluk halus yang menuntut syarat tertentu.
Sejak kejadian itu, Azim mengakui dia tidak lagi memandang ringan perkara mistik.
Pejabat yang sebelum ini tenang kini meninggalkan kenangan seram yang sukar dilupakan oleh Azim.
Azim yang menyaksikan sendiri kejadian itu percaya ia bukan sekadar insiden histeria biasa, tetapi detik yang membuka matanya tentang perkara yang selama ini hanya dilihat dalam filem-filem genre seram.















